PUTRAJAYA – Agensi Islam perlu tampil sebagai sebuah organisasi yang memiliki sistem perkhidmatan berkesan, pantas serta tersusun rapi.
Ini bagi mengelak daripada orang ramai terus melabelkan agensi itu tidak efisien dari segi sistem penyampaiannya.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, bagi memiliki sistem perkhidmatan berkesan, salah satu agensinya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa).
Kata beliau, aplikasi itu memberi pilihan kepada masyarakat yang berurusan dengan agensi berkenaan.
“Perubahan yang dilakukan YaPEIM ini seiring dengan peredaran zaman dan masa, memandangkan perkembangan teknologi maklumat amat berperanan dalam kehidupan seharian.
“Lihat saja apabila banyak urusan seperti pembayaran bil, perbankan dan membeli belah yang dapat dilakukan hanya di hujung jari secara dalam talian.
“Asbab negara berdepan dengan pandemik Covid-19, masyarakat pelbagai lapisan telah terdedah dengan perkembangan pesat teknologi dalam kehidupan,” katanya ketika berucap merasmikan aplikasi DiYa di sini hari ini.
Menurut Idris, fungsi aplikasi itu umpama MySejahtera yang turut boleh digunakan untuk membayar zakat dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) secara dalam talian.
Katanya, dengan memiliki telefon pintar serta capaian internet, pelbagai urusan dapat diselesaikan dengan pantas.
“YaPEIM tidak ketinggalan dengan menyediakan satu lagi pilihan capaian platfrom bagi memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
“DiYa adalah aplikasi mudah alih untuk memudahkan pelanggan YaPEIM mengakses semua produk dan servis yang ditawarkan termasuk Akaun Emas YaPEIM (SERY), Ar Rahnu YaPEIM Online, YaPEIM Gold Digital Store, YaPEIMall dan beberapa produk lain.
“Malah, menerusi DiYa juga orang ramai yang sudah memuatnaik aplikasi berkenaan boleh menyumbang dan bersedekah kepada YaPEIM dengan lebih pantas dan mudah,” katanya.
Beliau yakin dan percaya aplikasi DiYa akan memberi banyak manfaat terutama dalam YaPEIM mengembangkan sektor perniagaannya berkaitan emas.
“Saya percaya institusi kewangan seperti bank telah pun mengorak langkah dalam memperkasakan aplikasi digital masing-masing yang bukan sahaja mampu menarik pelanggan baharu, malah membantu mereka mencatatkan lebih keuntungan.
“Jadi, perkara inilah yang perlu dicontohi YaPEIM untuk memantapkan platform digital mereka.
“Sejak aplikasi ini mula digunakan secara rasmi tahun lalu, seramai 13,546 pelanggan telah mendaftar dan akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette