PUTRAJAYA – Situasi jangkitan virus Covid-19 di negara ini masih lagi terkawal walaupun terdapat laporan mengenai peningkatan kes pandemik yang boleh membawa maut itu.
Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) kelima bagi tahun 2022 hari ini berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut hadir tidak kelihatan bimbang dengan situasi semasa Covid-19.
“Daripada laporan yang berhormat menteri (Khairy) yang dibentangkan tadi, dia kata keadaan tidak membimbangkan. Hospital awam kita tidak berhadapan dengan tekanan-tekanan yang agak serius seperti normal sahaja. Jadi saya fikir masih dalam keadaan yang baik.
“Memang ada tanda peningkatan daripada semasa ke semasa tetapi kalau ikut laporan tadi hampir 90.9 peratus daripada kes itu adalah kategori satu dan dua.
“Jadi itu orang kata amat mild. Jadi sebab itu saya tak nampak muka menteri itu tadi cukup bimbang macam saya lihat dua tahun lepas. Makna situasi is very much better,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, Pengerusi MPN itu berkata, prestasi ekonomi negara yang menunjukkan pemulihan yang ketara pada suku pertama 2022 membuktikan langkah-langkah yang diambil kerajaan sepanjang tempoh pandemik dan pasca pandemik adalah tepat.
Hasil pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Tourism Malaysia, MPN mengemukakan tiga syor.
Antaranya kerajaan mengkaji semula insentif pelaburan sedia ada dan memperbaiki ekosistem pelaburan.
Ini termasuk mempertimbangkan beberapa kelonggaran yang dikira sesuai bagi mengoptimumkan impak dan meningkatkan daya saing negara dalam menyokong usaha pemulihan negara.
“Majlis juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian syarat pemilikan ekuiti bumiputera bagi perolehan tanah melebihi RM20 juta bagi pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan untuk tempoh selama dua tahun, iaitu sepanjang proses pemulihan ekonomi berlangsung.
“Pihak MIDA melaporkan pelaburan asing bernilai RM58 bilion tidak dapat direalisasikan kerana kekangan pelabur untuk memenuhi syarat ini.
“Syarat ini boleh dikenakan kembali apabila ekonomi pasca pandemik telah pulih sepenuhnya. Langkah seumpama ini pernah diambil oleh Kerajaan sebelum ini semasa negara menghadapi krisis ekonomi,” katanya.
MPN turut mengesyorkan supaya kerajaan merangka inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan kapasiti pemain industri pelancongan yang telah terjejas teruk selama dua tahun bagi memanafaatkan pembukaan semula negara dengan sepenuhnya.
Majlis tersebut turut mencadangkan kepada rakyat supaya terus memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing terutamanya melakukan penilaian risiko kendiri sebelum menghadiri acara atau aktiviti yang sesak.
Mereka dinasihatkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 jika bergejala dan pengasingan kendiri apabila positif Covid-19. -MalaysiaGazette