KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menganjurkan program Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di negeri Pantai Timur dengan kerjasama kerajaan Terengganu.
Menurut MOTAC, majlis rumah terbuka itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei 2022 bertempat di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu.
“Matlamat utama program ini bertujuan mendekatkan masyarakat umum khususnya Keluarga Malaysia di Terengganu dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia.
“Malah membuka kembali ruang untuk menjana ekonomi negara bagi para penggiat industri yang berada di negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah MOTAC, pemilihan negeri itu sebagai lokasi pengajuran majlis turut mengambil kira populasi penduduk dominan yang meraikan acara ini.
“Selain itu dipilih kerana dikelilingi lokasi tarikan utama pelancong serta masyarakatnya yang kaya dengan aktiviti seni, budaya dan adat tradisional masyarakat tempatan.
“Di samping itu juga, MOTAC sedang berusaha mempromosikan Terengganu dalam aspek kebudayaan, kesenian dan pelancongan,” ujarnya.
MRTM Aidilfitri 2022 akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya Rewang Raya, Kenduri Rakyat, Pertandingan Lumba Perahu, Himpunan Keris, Gateh Busana, Kambing Cantik, Pertandingan Ayam Ratu, Zoo Kampung, Wau Gegok Damak, Tok Dekor Jangok, Tewah Ngail, Gasing Terbang, Bot Berhias dan persembahan kesenian.
Turut dianjurkan Bengkel dan Kelas Masakan Warisan, Demonstrasi Makanan Warisan, ceramah agama “Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan” serta Pertandingan Memancing dengan tema memancing sambil mengenakan pemakaian kain pelikat dan semutar beramai-ramai.
Sementara itu, menurut MOTAC bagi acara kemuncak program ini iaitu majlis perasmiannya pada 20 Mei nanti akan disempurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pukul 9 malam.
Sehubungan itu, MOTAC menjemput semua Keluarga Malaysia yang sudah melengkap vaksinasi untuk hadir dan memeriahkan program ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – MalaysiaGazette.