KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 petugas ditempatkan di 28 kawasan sekitar ibu negara bagi memantau kejadian banjir kilat sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, para petugas terdiri daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan sukarewalawan Majlis Perbadanan Putrajaya (MPP).
Kesemua mereka adalah dilantik bagi tujuan tersebut dan mereka turut diberikan elaun, katanya.
“Hari ini kitra terus memberi perhatian untuk memastikan supaya banjir kilat dapat dikurangkan dan kalau boleh dapat dihapuskan.
“Itu sebab dulu ada 25 hotspot sekarang sudah jadi 28 sebab hujan yang turun itu di tempat baharu. Jadi, kita beri perhatian menggunakan kamera dan juga peralatan terkini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, jumlah petugas tersebut akan ditambah 20 hingga ke 30 orang lagi di kawasan-kawasan hotspot tertentu.
Pihaknya turut memberikan perhatian di kawasan-kawasan yang airnya mengalir hingga boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Ditanya mengenai laporan DBKL kononnya tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen, syarikat untuk mengutip bayaran sewa rumah dan bil air bagi perumahan awam, Shahidan belum mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu.
“Saya akan beri komen kalau dapat maklumat…saya tak dapat maklumat sepenuhnya, kalau dapat maklumat saya akan komen,” ujarnya. – MalaysiaGazette