MELAKA – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka terus melonjak melibatkan 1,142 kanak-kanak membabitkan murid tadika, taska dan pusat jagaan setakat 14 Mei lalu.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, angka itu meningkat 16.8 peratus atau 165 kes berbanding minggu lalu yang merekodkan 977 kes.
Menurutnya daripada jumlah 1,142 itu, 26 jangkitan melibatkan empat buah taska termasuk hanya sebuah yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala bakinya dalam proses pendaftaran.
“Untuk 26 kanak-kanak berusia bawah empat tahun itu, ia melibatkan sebuah taska di Melaka Tengah dan tiga di Jasin yang sudah pun diarah tutup selama 10 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).
“Keseluruhannya di Melaka, setakat 14 Mei lalu, sebanyak 1,142 kanak-kanak berusia bawah empat tahun dijangkiti HFMD melibatkan tadika, taska dan pusat jagaan termasuk yang belum berdaftar di bawah JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ayer Keroh hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata, kerajaan negeri bersedia menutup lebih banyak tadika dan taska di negeri ini berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya wabak itu terus melonjak.
“JKM akan mengikut apa sahaja arahan dibuat KKM untuk mengawal penularan wabak ini dan kita akan terus bekerjasama dengan JKNM bagi memantau situasi jangkitan ini.
“Saya minta ibu bapa juga sentiasa berwaspada termasuk peka terhadap tanda-tanda HFMD pada anak-anak mereka,” katanya.- MalaysiaGazette