KUALA LUMPUR – Insiden banjir teruk sekitar Hulu Selangor terutamanya di Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Estet Kerling dekat sini kembali menjadikan rakyat dilanda kebimbangan.
Malah apa yang paling ditakuti mereka adalah tiadanya bantuan diterima, wakil rakyat yang sepatutnya menjadi suara mereka tidak mengambil peduli atau kerajaan negeri lambat menyalurkan keperluan itu.
Bagaimanapun, menurut Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Dahalan, ada juga yang menuding jari atau cepat ‘melatah’ serta bertindak mempolitikkan musibah itu bagi menutup kekurangan yang berlaku.
“Ada pihak menuduh saya macam-macam kerana saya telah menyoal mana perginya wakil-wakil rakyat yang jaga kawasan ketika banjir teruk kali ini, mana perginya wakil rakyat yang menang undi besar pada pilihan raya lepas dan berjanji macam-macam kepada masyarakat setempat ini?
“Ingin saya cakap, UMNO mahu pun BN (Barisan Nasional) sebenarnya sentiasa peka tentang perkara-perkara ini sejak dulu lagi, kita sentiasa sensitif dengan isu rakyat.
“Banjir di Kerling ini bukan kita sebarangan cakap, kita juga tidaklah terburu-buru dengan emosi menjawab itu dan ini. Alhamdulillah jentera UMNO bergerak mendengar, melihat dan merumus bantuan yang kita boleh salur bukan untuk jangka pendek sebaliknya penyelesaiannya juga.
“Ini bukanlah medan untuk mencari isu politik. Ini tentang rakyat. Mereka sedang dilanda musibah lagi-lagi banjir itu datang teruk kali ini, tidak ada seorang pun menyangka sehingga begini teruk. Sebagai salah seorang pemimpin dan juga penduduk, saya berhak dan saya akan bertanya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Mat Nadzari, pihak berkenaan tidak perlu emosi menyerangnya tetapik sebaliknya perlu fokus kepada apa yang boleh dilakukan.
“Sebagai pemimpin di sini, saya telah turun dari awal-awal lagi. Bukan saya sahaja sebaliknya kesemua jentera sebenarnya. Dari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd. Yazid sehinggalah JPKKP (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan) serta sukarelawan lain.
“Juga komponen parti BN yang lain, semuanya turun secepat yang boleh dan sehingga hari ini berterusan menyalurkan apa sahaja sumbangan, bantuan serta keperluan pada masa ini. Kita akan ada lagi pemimpin turun dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pegawai khas MB Selangor tegur pemimpin UMNO kritik isu banjir
Sebelum ini, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad membidas Mat Nadzari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor yang didakwa lebih cepat menulis di Facebook berhubung insiden banjir namun tidak tampil membantu.
Dalam pada itu, Mat Nadzari yang juga mantan Pengerusi UMNO Selangor itu mendakwa tidak gentar untuk bersuara walaupun berdepan dengan tuduhan sebaliknya selagi ia untuk rakyat, tidak ada apa-apa akan menghalangnya.
“Saya tidak berminat berpolitik tentang perkara ini pun. Jika tengok Facebook pun, anda akan lihat macam-macam isu saya lontarkan. Selain itu saya juga akan memberi kredit kepada sesiapa yang membawa kebaikan di sini. Tidak betul pun kononnya saya ambil nama.
“Tidak apa, pada masa ini kita fokus dulu bagaimana hendak kita bantu pulihkan mangsa-mangsa ini. Air kali ini naik agak tinggi sehinga 1.8 meter, banyak juga yang terjejas, kerugian serta tanggungan juga bukanlah sedikit,” ujarnya.
MalaysiaGazette juga melaporkan keluhan rata-rata penduduk di Kampung Jawa Kerling di Kuala Kubu Baru yang mengadu tiada bantuan sampai kepada mangsa banjir oleh kerajaan.
Malah mereka menyifatkan seolah-olah kerajaan negeri gagal melaksanakan tindakan awal dalam menangani bencana banjir itu sebaliknya mangsa sendiri terpaksa melakukannya sendiri. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Macam tiada kerajaan, semuanya kena selesaikan sendiri – Mangsa banjir Kampung Jawa Kerling