MELAKA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan penutupan operasi dua hari sebuah ladang ternakan ayam di Jasin mempunyai kaitan dengan protes terhadap kerajaan yang didakwa lambat menjelaskan bayaran subsidi harga ayam di negara ini.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng sebaliknya berkata, isu protes tidak pernah timbul atau menjadi rungutan dalam kalangan kira-kira 2,400 peladang di bawah persekutuan itu sebelum ini.
Menurutnya, adalah menjadi amalan biasa dalam kalangan mana-mana syarikat atau pengeluar ayam di negara ini untuk menutup operasi mengikut keperluan mereka.
“Itu (penutupan) tertakluk kepada syarikat itu tapi dari segi persatuan kita tidak pernah menasihatkan mana-mana ahli untuk berhenti operasi kecuali mungkin jika ada sebab-sebab tertentu.
“Jika benar mungkin ada syarikat nak rehat dua hari, itu hak mereka tapi janganlah kita kaitkannya dengan isu-isu besar seperti protes, kartel dan sebagainya yang langsung tiada kaitan,” katanya pada sidang media, di sini, petang ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mengenai satu pekeliling dikeluarkan semalam oleh sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka kepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.
Laporan sama turut menyebut usaha tersebut didalangi sekumpulan kartel industri ternakan ayam yang merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan kerana lewat menjelaskan bayaran subsidi.
Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga pemilik ladang ternakan ayam di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar, malah FLFAM mempunyai hubungan baik dengan Putrajaya dalam usaha menangani masalah bekalan ayam di negara ini.
“Isu kartel ini memang tak wujud, kalau ada kenapa perlu ada kartel? Sebab ayam ini dah ada harga siling.
“Kita pun dah buat analisis tujuh, lapan tahun lalu dalam industri ternakan ini tiada satu kelompok pun dapat kawal lebih 30 peratus daripada bekalan ayam di negara untuk kawal harga pasaran.
“Jadi harga ayam ini saingannya memang hebat malah kita selama ini kita berkongsi kesefahaman dengan kerajaan bukannya menimbulkan isu sebegini,” katanya.
Untuk rekod, FLFAM yang menaungi 16 persatuan melibatkan kira-kira 2,400 pengusaha ladang ternakan ayam seluruh Semenanjung berupaya mengeluarkan kira-kira 2.2 juta ekor ayam sehari. – MalaysiaGazette