BULAN Syawal yang mulia sudah menjelma dan diraikan dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam. Kemenangan menelusuri tarbiyah Ramadhan selama sebulan diterjemahkan dengan bertakbir memuji Allah yang Maha Esa, solat sunat Aidilfitri, bersedekah, kunjung mengunjung serta saling bermaafan sesama kaum keluarga dan juga sahabat handai.
Ramadan yang berlalu pergi pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap mukmin yang memanfaatkan seluruh bulan tersebut dengan ibadah dan amalan soleh. Hasil daripada tarbiyyah Ramadhan ini diharapkan mampu membimbing kita mengharungi sebelas bulan akan datang sebelum bertemu kembali Ramadhan di tahun hadapan.
Pada tahun ke-8 Hijrah, 10 hari sebelum menjelangnya Syawal telah berlaku suatu peristiwa besar dalam sejarah agama Islam iaitu kejayaan Rasulullah SAW menawan kota Makkah dalam peristiwa agung Fathu Makkah. Peristiwa paling bersejarah kepada umat Islam dan umat manusia ini berlaku pada tanggal 20 Ramadhan Tahun ke-8 Hijrah, bersamaan 10 Januari tahun 630 Masihi. Fathu Makkah bermaksud pembebasan Makkah daripada penguasaan jahiliah, sekali gus membenarkan janji Allah SWT akan kemenangan bagi umat Islam dengan penguasaan yang menyeluruh terhadap kota Makkah oleh umat Islam.
Pembebasan kota Makkah oleh baginda Nabi SAW merupakan suatu kewajipan kerasulannya dan juga tanggungjawab kepada kaum keluarga, bangsa dan tanah airnya sendiri. Baginda bertindak dengan penuh kesopanan dan berakhlak mulia, yang akhirnya menjadi contoh dan teladan dengan hidayah Allah yang Maha Rahmat dan Adil terhadap semua. Bumi Makkah berjaya dimerdekakan daripada cengkaman penjajahan jahiliah bangsa Arab sendiri, bangsa Nabi dan keluarganya, bukannya penjajah asing.
Rasulullah SAW membawa pendekatan dakwah secara aman dan hujah berfikir dengan akal yang sihat dan waras. Namun, musyrikin yang fanatik dan jahil bertindak dengan zalim, sehingga menyeksa kalangan orang yang beriman, bahkan ada yang dibunuh dengan kejam kerana keIslamannya, bukannya kerana buruk akhlak dan jahatnya terhadap orang lain.
Hakikatnya, hanya segelintir penduduk Makkah yang menerima Islam, kerana kebanyakan mereka takutkan kebenaran, walaupun Allah SWT menunjukkan keberkatan dan keamanan yang luar biasa datang daripadaNya. Ucapan mereka dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Qasas ayat 57: “Dan mereka (yang kafir) berkata: “Kalau kami menyertaimu (wahai Muhammad), menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)”. Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi kami? (Benar, kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)”.
Menariknya, pada masa yang sama agama Islam diterima oleh penduduk Yathrib yang mendapat maklumat daripada kaum Yahudi ahli kitab, tentang berita kedatangan Rasul akhir zaman. Akhirnya tertegaklah sebuah negara yang dinamakan Madinah yang mendaulatkan Islam secara kaffah atau menyeluruh. Keadilannya terserlah kepada seluruh umat manusia dan ajarannya mengajak semua pihak menerima Islam atau tidak bermusuhan. Namun, sebahagian daripada manusia jahiliah memilih bermusuhan dan berperang. Walaupun demikian, Islam tetap menganjurkan perdamaian yang sentiasa menjadi keutamaan ajarannya.
Kejayaan Fathu Makkah bermula daripada rentetan peristiwa pihak yang berkuasa di Makkah menghalang Rasulullah SAW dan para sahabatnya datang menunaikan umrah di kota Makkah. Kedatangan Baginda SAW atas urusan ibadah bukannya berperang, namun dihalang dengan menunjukkan kekerasan dan penuh dengan kesombongan.
Penyelesaian akhirnya dicapai menerusi jalan perundingan, maka dimeteraikan perdamaian yang dinamakan Hudaibiyah, bersempena nama tempat berlakunya peristiwa tersebut. Segala syarat terpaksa diakur, walaupun kelihatan nyatanya tidak adil terhadap Islam dan penganutnya, sehingga dipaksa menangguhkan ibadah umrahnya setahun kemudian, walaupun sudah berpakaian ihram yang terpaksa ditanggalkan dengan membayar dam (denda) dan syarat-syarat yang kelihatan sangat berpihak kepada musuh itu.
Para sahabat ternyata tidak bersetuju atas ketidakadilan ini, namun keyakinan kepada janji Allah dan Rasul lebih tinggi. Akhirnya semua menerima dengan berat hati kerana konsep perdamaian itu didahulukan, namun wala’ dan taat kepada Allah dan Rasul wajib diutamakan.
Perjanjian yang dilihat berat sebelah itu diterima dengan tujuan menuntut keredhaan Allah SWT dan RasulNya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 61: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Sebenarnya, banyak tindakan yang diambil itu bukan sahaja yang tersurat, tetapi banyak perkara yang tersirat, yang hanya difahami oleh pemimpin dan tidak difahami oleh pengikut. Ternyata, hasil daripada perjanjian itu adalah meningkatnya jumlah mereka yang masuk Islam berlipat kali ganda, apabila besarnya jumlah penyertaan kerahan tenaga yang dilakukan untuk operasi perang itu, walaupun dirahsiakan tanpa diketahui ke mana arah hala tujunya.
Natijahnya, apabila perjanjian dikhianati dan perdamaian dicabul, maka Rasulullah SAW melancarkan operasi menawan kota Makkah dengan arahan persediaan penuh kerahsiaan dan tidak diketahui ke mana arahnya. Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT supaya disembunyikan tujuannya, seterusnya bertindak menghantar pasukan peninjau ke arah yang lain daripada kota Makkah untuk mengelirukan musuh. Sehingga para keluarga dan sahabat yang terdekat hanya menerima arahan bersiap, tanpa diketahui bahawa tujuannya menyerang kota Makkah.
Namun, pengkhianatan kaum musyrikin Makkah sudah diketahui umum, apabila datangnya pemimpin Kabilah Khuza’ah yang bernaung di bawah kerajaan Islam, menceritakan bahawa mereka telah diserang oleh Kabilah Bani Bakar yang menjadi rakan sekutu para pemimpin Makkah. Kegusaran terhadap situasi tersebut telah menyebabkan seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah RA mengutus surat kepada Makkah melalui seorang wanita, kerana tujuannya bagi menyelamatkan keluarganya di sana. Perkara ini dikhabarkan oleh Allah yang Maha Mengetahui kepada Rasulullah SAW, lalu ditugaskan dua sahabat baginda iaitu Saidina Ali dan Al-Zubair RA untuk mengejar wanita itu dan merampas suratnya.
Akhirnya, kota Makkah ditawan tanpa sebarang tentangan dan peperangan, kerana musuh tidak mendapat maklumat kedatangan bala tentera Islam. Sebaik sahaja selesai perintah berkurung bagi mewujudkan keamanan, Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, dan hanya beberapa pemimpin yang disenaraikan penjenayah perang, namun sebahagian besarnya diberi pengampunan dan kemaafan, berakhir dengan mereka masuk Islam tanpa paksaan. Nyata di sini, rahmat daripada ajaran Islam mendahulukan konsep menyelamatkan manusia seramai-ramainya, bukannya menghukum sebanyak-banyaknya.
Kehadiran Syawal yang mulia wajar diraikan, namun iktibar daripada peristiwa Fathu Makkah ini wajar diambil perhatian oleh seluruh umat Islam. Umat Islam jangan terlalu leka dalam meraikan kegembiraan Syawal sehingga mengabaikan tuntutan dakwah dan menyebarkan ajaran Islam. Tiada salahnya bergembira di bulan syawal ini, namun sebaiknya hasil daripada tarbiyah Ramadhan sepatutnya melonjakkan momentum usaha dakwah dan mempromosikan ajaran Islam yang syumul. Amat malang sekiranya masyarakat bukan Islam dipamerkan dengan perkara negatif segelintir umat Islam seperti berhibur berlebih-lebihan, membazir, membuang masa dan sebagainya. Seolah-olah Ramadhan yang berlalu langsung tidak berbekas di hati nurani yang dalam.
Seterusnya, perlu ada strategi dan perancangan yang mengena terhadap usaha-usaha dakwah yang dijalankan. Athar daripada Sayyidina Ali KRW menegaskan bahawa “Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang”. Usaha juga perlu dilakukan dengan mengutamakan perdamaian dan kasih sayang, agar lebih ramai umat manusia yang diselamatkan, berbanding dihukum!
Pengajaran paling penting ialah keyakinan yang jitu terhadap janji-janji Allah SWT akan kemenangan bagi umat Islam. Usaha dakwah dan menyebarkan ajaran Islam perlu digiatkan secara lebih aktif dan menyeluruh agar seluruh umat manusia menyedari dan merasai kerahmatan agama Islam sebagai agama terbaik bagi seluruh umat manusia. Seterusnya menatijahkan keyakinan yang mendalam terhadap Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan diiktiraf di sisi Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor