KUALA LUMPUR – Agenda dan teras tadbir urus Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang berlandaskan roh Maqasid Syariah mengutamakan pencapaian maslahah serta kesejahteraan seimbang antara jasmani, emosi dan rohani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, antara prinsipnya adalah berpegang kepada ajaran agama, mengiktiraf kebebasan beragama, menghormati hak dan keberadaan pelbagai kaum serta menggiatkan interaksi serta dialog dengan semangat muhibah.
Kata beliau, adanya interaksi yang sihat, hubungan kekeluargaan dan persaudaraan akan terus terbina dalam ekosistem kehidupan bermuafakat ke arah kemaslahatan bersama.
Perselisihan katanya, perlu diselesaikan dengan penuh ilmu dan hikmah merungkai kekhilafan dengan sandaran hak dengan penuh tanggungjawab.
“Dalam usaha memperkasakan perancangan dan agenda yang bersifat kalis cabaran, keupayaan dan kemahiran perlu digembleng dengan penuh tanggungjawab dan amanah serta dilaksanakan secara adil sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Kita ingin lihat dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera menjadi dokumen penting yang dilaksanakan oleh semua agensi agar dasar dan polisi pelaksanaan dalam apa saja bidang dan kluster terpandu sewajarnya.
“Justeru, kita mengajak Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk sama-sama merealisasikan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan Kongres Nasional: Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian dengan tema “Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan” sempena sambutan Ulang Tahun IKIM yang ke-30 di sini, hari ini.
Turut hadir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Menurut Idris, satu jawatankuasa perundingan agensi akan digerakkan untuk membantu melaksanakan dokumen itu di semua peringkat dan agensi dimulai dengan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama).
Selepas itu, katanya, ia akan berkolaborasi dengan rakan strategik iaitu Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk dicadangkan pelaksanaan di peringkat negeri.
Beliau memuji usaha mengadakan Kongres Nasional itu yang dilihat dapat melakar titik penting dalam usaha pemulihan negara ke arah proses transisi ke fasa endemik.
“Lontaran fikrah dan idea para pembentang dan ahli panel pastinya akan menjadi sumbangan yang amat bermakna ini.
“Malah, semua pihak perlu berperanan membina kesedaran pentingnya mengukuhkan Keluarga Malaysia berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, yang menjadi kunci kejayaan menghadapi cabaran mempersiapkan diri dengan ilmu,” katanya.
Idris berkata, ketika berada di UAE dan Riyadh mewakili kerajaan ke Persidangan Antarabangsa, beliau membentangkan usaha Malaysia mengekalkan perpaduan dalam konteks kemajmukan masyarakat berteraskan aplikasi Fiqh al-Ta’ayush.
“Saya telah menyebut bahawa kita telah menggerakkan pendekatan Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.
“Alhamdulillah, seluruh negara luar memandang tinggi kepada Malaysia yang pada mereka sebagai model sebuah negara majmuk,” ujar beliau. – MalaysiaGazette