KUALA LUMPUR – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) optimis bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.
Ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan kerajaan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi 2022. Ekonomi berkembang 3.1 peratus tahun lepas.
Namun begitu, agensi yang berpangkalan di Washington itu mengakui bahawa terdapat risiko penurunan yang besar, termasuk daripada pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine, kesukaran serupa yang dihadapi oleh kedua-dua negara maju dan membangun di seluruh dunia.
“Pertumbuhan Malaysia diunjurkan kukuh dalam jangka sederhana walaupun risiko kesan ekonomi jangka panjang adalah nyata,” kata Lembaga Eksekutif IMF dalam kesimpulannya susulan perundingannya dengan pegawai Malaysia dalam laporan penilaian yang dikeluarkan April lalu.
Justeru, IMF maklum dengan komitmen Malaysia terhadap fleksibiliti kadar pertukaran sambil menyatakan ia akan terus membantu negara dengan baik.
Ini diperkukuh lagi minggu lepas apabila Bank Negara Malaysia mengesahkan kedudukannya bahawa ia tidak akan menambat ringgit walaupun mata wang itu lemah.
Ini ialah kerana sektor perbankan masih mempunyai permodalan yang baik dan sangat cair, disokong oleh kualiti aset yang kukuh.
IMF juga berkata bahawa sektor kewangan Malaysia “kekal berdaya tahan,” dan ia digalakkan oleh pembaharuan sektor kewangan yang tertumpu pada keterangkuman, transformasi ekonomi dan ekonomi yang mampan.
Ini jelas mencerminkan konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi tumpuan kepada keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang bertujuan untuk membawa rakyat bersama dalam membantu negara pulih daripada pandemik COVID-19 yang melemahkan.
IMF yang mempunyai 190 negara anggota turut memuji pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 kerana ia memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti buruh/guna tenaga, meningkatkan ekonomi digital dan hijau serta mengukuhkan tadbir urus fiskal.
“Ini akan membantu meminimumkan kesan ekonomi berkaitan pandemik sambil menggalakkan pertumbuhan inklusif dan penghasilan pekerjaan,” kata IMF.
IMF turut mengambil kira penilaian yang kedudukan luar Malaysia adalah sederhana lebih kukuh daripada yang dibenarkan oleh asas ekonomi dan dasar yang diingini.
IMF juga menyarankan dasar untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk menyokong pemulihan inklusif dan memudahkan pengimbangan semula luaran yang telah dilakukan Malaysia melalui peruntukan berkaitan COVID yang mencecah berbilion ringgit.
Melihat kembali pada tahun 2021, IMF berkata tindak balas dasar pandemik yang pantas, besar dan pelbagai serampang menyokong ekonomi.
Jumlah perbelanjaan belanjawan/peruntukan berkaitan COVID bernilai sehingga RM39 bilion (kira-kira 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, lebih dua kali ganda daripada belanjawan awal RM17 bilion, dan melebihi RM38 bilion yang dibelanjakan pada 2020.
Sehubungan itu, defisit kerajaan persekutuan mencapai kira-kira 6.5 peratus daripada KDNK pada 2021, lebih tinggi daripada kira-kira 5.5 defisit yang diramalkan dalam Bajet 2021.
Hutang kerajaan persekutuan dianggarkan pada 63 peratus daripada KDNK, di bawah siling hutang domestik sebanyak 65 peratus, katanya.
Ditubuhkan pada Julai 1944 selepas Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat, IMF berusaha untuk mencapai pertumbuhan dan kemakmuran yang mampan untuk semua 190 negara anggotanya.
Ia berbuat demikian dengan menyokong dasar ekonomi yang menggalakkan kestabilan kewangan dan kerjasama monetari, yang penting untuk meningkatkan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan kesejahteraan ekonomi. – MalaysiaGazette