GEORGE TOWN – “Walaupun keadaannya semakin lemah namun dia memaparkan reaksi gembira sepanjang perjalanan pulang dari Pangkalan Udara Butterworth ke Perlis semalam”.
Kata Mazatul Rohana Saleh, ibu kepada kepada Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, pengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) tahap akhir.
Mencerita detik manis anaknya menerima jemputan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mazatul berkata, sejak beberapa hari lalu Muhammad Irfan sering bercerita kepada tetamu yang datang ke rumah berkenaan dirinya bakal menaiki pesawat pejuang.
“Walaupun hanya dapat melihat pesawat pejuang menggunakan sebelah mata susulan penglihatan mata kanannya sudah terjejas namun ia tidak melunturkan semangat Muhammad Irfan merasai pengalaman yang diimpikannya.
“Saya dan keluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terbabit yang membantu merealisasikan impian anak saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, impian Muhammad Irfan menaiki pesawat pejuang ditunaikan TUDM di Pangkalan Udara Butterworth.
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TUDM Bersama Rakyat, Muhammad Irfan diberi peluang memakai sut juruterbang dengan pangkat ‘Leftenan’ beserta tag nama selain didedahkan dengan tugas-tugas seorang juruterbang pesawat pejuang.
“Prihatin dengan keadaan adik Irfan yang viral sejak minggu lepas, pihak TUDM mengambil peluang ini untuk melestarikan impiannya.
“Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata adik Irfan adalah seorang ‘pejuang muda’ dengan semangat juangnya melawan sakit kanser,” kata Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette