Home Nasional Durian tak banyak punca harga naik – Peniaga

Durian tak banyak punca harga naik – Peniaga

Hamzah bersama isterinya Rohani Ali menjual durian hasil daripada kebun mereka di Jalan Air Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – “Buah banyak tak menjadi musim ini serta durian belum luruh sepenuhnya menjadi faktor harga durian melambung naik ketika ini,” kata peniaga durian di Jalan Air Putih, Hamzah Ahmad, 66, ketika diminta mengulas dakwaan orang ramai berkaitan harga durian kini seakan harga emas.

Menurutnya, cuaca hujan dan angin kencang tempoh hari menyebabkan bunga, putik luruh, sekali gus mengakibatkan bekalan buah durian musim ini tidak banyak.

“Betul harga durian mahal sekarang ini namun ia disebabkan buah tak banyak serta belum tiba musim luruh.

Hamzah menunjukkan buah musang king yang kini menjadi kegilaan peminat durian.

“Ikutkan sekarang durian bukit yang banyak luruh sebab itu mahal. Jika dibandingkan harga dengan tahun lepas peningkatan berlaku antara RM3 hingga RM9 sekilo mengikut jenis buah.

“Bagaimanapun, sejak dua-tiga hari ini harga durian menunjukkan sedikit penurunan dan kita jangka harga akan stabil sebaik musim luruh sepenuhnya iaitu pada pertengahan Jun ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata peniaga di negeri ini menjual durian pada harga serendah RM15 hingga RM100 sekilo mengikut jenis buah.

Berdasarkan harga purata menyaksikan durian duri hitam dijual RM90 hingga RM100 sekilogram, diikuti Musang King RM70 hingga RM80 sekilogram, Hor Lor RM55 hingga RM70 sekilogram dan durian jenis 604 RM35 hingga RM40 sekilogram.

Rata-rata peniaga dilihat menjual buah jenis 604 serta Musang King yang didakwa luruh awal berbanding buah lain.

Shamsul.

Sementara itu, Shamsul Abdul Aziz, 35, berkata, durian yang dijualnya tidak menunjukkan peningkatan harga memandangkan ia adalah hasil kebunnya sendiri.

“Kalau tengok harga durian setiap tahun sama saja cuma ada setengah pihak besarkan isu kenaikan harga agar mereka dapat mengaut keuntungan lebih.

“Cuma kali ini memang banyak buah tak jadi disebabkan faktor cuaca hujan dan ribut ketika musim bunga tempoh hari,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan durian di Jalan Tanjung Tokong. – MalaysiaGazette