KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa mendesak pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memadamkan hantaran media sosialnya yang bertanya, “Apakah rumah Perdana Menteri dan Menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka”.
Ketuanya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebagai biadab, tidak bertanggungjawab, bersifat anarkis dan satu sabotaj kepada ekonomi negara.
Kata beliau, amat menyedihkan dalam keadaan negara berusaha untuk pulih dari kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19, Kit Siang memberi gambaran tidak benar mengenai keadaan negara kepada rakyat dan pelabur luar negara.
“Justeru, saya berharap sebagai wakil rakyat veteran, Kit Siang memadamkan hantaran tersebut dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam ini.
Kit Siang menerusi akaun Twitter @limkitsiang hari ini menciapkan hantaran berbunyi, “Apakah rumah Perdana Menteri dan Menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka?”
Menurut Nazir Husin, setelah berpuluh tahun menjadi Ahli Parlimen, Kit Siang pasti sedar kenyataan beliau bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, tetapi juga pelabur asing yang tidak berada di negara ini.
Jelas beliau, ekonomi Malaysia hari ini tidak sama langsung dengan keadaan di Sri Lanka.
“Sri Lanka berhadapan krisis inflasi yang mendadak sehingga rakyat tiada wang untuk membeli barang keperluan asas.
“Di Sri Lanka juga harga barangan keperluan asas mula meningkat pada akhir 2021, dan kini orang ramai membayar sehingga 30 peratus lebih berbanding setahun yang lalu.
“Ramai terpaksa berlapar, bahan api tidak dapat memenuhi permintaan, bekalan elektrik kerap terputus dan ubat juga tidak mencukupi,” katanya.
Beliau bertanya, apakah semua itu mencerminkan keadaan Malaysia hari ini?
“Tidak sama sekali. Majoriti rakyat negara ini masih mempunyai makanan atas meja setiap hari, stesen minyak kita masih berjalan seperti biasa, jalan raya masih sesak, bekalan elektrik kekal stabil dan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri terus berjalan dengan meriah.
“Benar, negara ini berhadapan inflasi, yang turut dihadapi oleh hampir semua negara di dunia. Namun, sistem pentadbiran kita tetap utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
“Malah, keperluan majoriti rakyat tidak pernah terancam dan jika kita kekurangan bekalan makanan tertentu, ia bukan kerana rakyat tidak mampu membeli, tetapi kerana negara yang mengeksport mengambil tindakan mengurangkan eksport akibat krisis dalam negara mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette