KUALA LUMPUR – Malaysia tidak pernah berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam usahanya membebaskan negara itu dari kekejaman rejim zionis.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukti kepada sokongan itu dengan doa yang tidak pernah putus dari rakyat Malaysia agar Palestin menemui kejayaan dalam perjuangannya.
Beliau menyatakan sokongan itu dalam kesempatan bertemu dengan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Sheikh Hatem Mohammad Helmi dan delegasi ulama dari Palestin yang tiba ke negara ini untuk menghadiri Muslim Scholar Summit anjuran MyAqsa di sini.
“Banyak perkara dibincangkan khususnya berkenaan nasib Palestin dan saya tegaskan, kita tidak pernah berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka dari kekejaman rejim zionis,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Beliau turut dijemput menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam meraikan delegasi peserta yang datang dari seluruh dunia.
Menurut Ahmad Zahid, Pengarah Masjidil Aqsa turut menggesa agar usaha dilakukan untuk menubuhkan satu badan melibatkan beberapa negara seperti Palestin, Malaysia, Turki, Indonesia dan Pakistan bagi membantu negara itu dari pelbagai aspek secara lebih berkesan selepas ini.
Turut hadir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum dan Duta Palestin, Walid Abu Ali.
Beliau berharap, hasil buah fikiran Muslim Scholars Summit 2022 itu akan menjadi pemangkin kepada pembebasan Palestin hasil kesatuan dan kesungguhan umat Islam yang mahu melihat kekejaman zionis Israel berakhir. – MalaysiaGazette