KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menempah slot ke suku akhir Terbuka Thailand selepas berjaya menumpaskan pemain Jerman, Kai Schaefer di Impact Arena, Bangkok, semalam.
Zii Jia mudah menundukkan Schaefer dengan mata 21-7, 21-11 dalam tempoh 37 minit.
Turut mengikuti jejak langkah Zii Jia adalah pembantu jurulatihnya, Liew Darren yang berhempas pulas sebelum menewaskan pemain Jepun, Koki Watanabe 16-21, 22-20 dan 21-11.
Selain itu, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik tidak berhadapan masalah menempah slot suku akhir apabila menyingkirkan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-18-216.
Satu lagi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut mara ke suku akhir apabila menewaskan gandingan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-16, 21-11.
Beregu wanita negara, Tan Pearly-M Thinaah terus mempamerkan aksi konsisten apabila menumpas wakil China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 21-17, 21-11.
Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengesahkan tempat di suku akhir selepas menundukkan pasangan India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 21-19,22-20.
Zii Jia akan membuat perhitungan dengan wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada suku akhir manakala, Darren bertemu pemain China, Zhao Jun Peng.
Bagaimanapun, laluan bagi Pearly-Thinaah agak sukar apabila bertemu pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota
Soon Huat-Shevon Lai akan membuat perhitungan dengan beregu campuran Jepun yang juga pilihan ketiga kejohanan, Yuta Watanabe-Arisa Higashino. – MalaysiaGazette