MELAKA – Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) Melaka semakin membimbangkan susulan jumlah premis yang ditutup meningkat kepada 20 buah.
Pengarah kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, premis terbabit melibatkan enam buah taska, tadika (8) rumah (4) dan dua buah pusat jagaan di ketiga-tiga daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Kesemua premis ini kecuali premis persendirian telah diarahkan turut selama 10 hari atau berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kebiasaanya, jika ada mana-mana tadika, taska atau pusat jagaan merekodkan lebih daripada 4 kes kita arahkan tutup,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas mengetuai Operasi Mega Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau, di Bandar Hilir, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, secara keseluruhannya setakat Rabu lalu, bilangan bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD berusia bawah enam tahun terus meningkat kepada 1,633 kes semalam berbanding 1,378 kes pada 14 mei lalu.
“Daripada jumlah ini, daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 772 kes diikuti Alor Gajah dan Jasin masing-masing 516 dan 345 kes.
“Kita jangkakan, angka jangkitan ini akan terus melonjak beberapa hari lagi jika orang ramai terus mengabaikan langkah kawalan dan pencegahan selain tiada kesedaran memastikan penyakit itu tidak terus menular,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi malam tadi, Dr Rusdi berkata, lapan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun dikompaun selepas didapati merokok di kedai makan. – MalaysiaGazette