GEORGETOWN – Pemansuhan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan tidak akan menyelesaikan isu kenaikan harga barang serta inflasi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan perlu membuat perbincangan lebih komprehensif mengenai perancangan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.
“Kerajaan juga perlu melakukan koordinasi dengan pelbagai kementerian bagi memastikan isu kenaikan harga barang dapat ditanggani dengan sebaiknya.
“Isu ini melibatkan rakyat. Pemansuhan AP terhadap barangan makanan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan inflasi.
“Ia ada banyak faktor seperti masalah orang tengah, peraturan yang perlu dikaji semula dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini.
Tambah Anthony, DAP akan mengumumkan pendirian serta cadangan penyelesaian kenaikan harga barang selepas satu kertas dasar berhubung inflasi dan kenaikan harga barang siap nanti.
“Draf kertas dasar tersebut sedang diuruskan Penasihat Dasar DAP, Tony Pua,” jelas beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi. – MalaysiaGazette