Home Nasional Juruterbang maut, pesawat terhempas

Juruterbang maut, pesawat terhempas

MELAKA – Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas sebuah pesawat ringan milik persendirian jenis GT-500 yang sedang menjalankan ujian bagi mendapatkan Permit Kebenaran Terbang, terhempas ke dalam sungai di Sungai Rambai, Melaka.

Dalam kejadian sekitar 11 pagi tadi itu, pesawat yang berlepas daripada Aerodrome Sungai Rambai itu sedang diterbangkan oleh mangsa yang maut Yen Yoon Fah, lapor Astro Awani.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penguasa Bomba Kanan 1, Dzulkarnain Abd Halim berkata, pesawat berkenaan ditemui terhempas di dalam sebatang sungai dengan jarak kira-kira 100 meter dari kawasan ia berlepas.

Difahamkan, pesawat ringan itu sudah dua bulan berada di Aerodrome Sungai Rambai bagi menjalankan ujian penerbangan sebelum mendapatkan Permit Kebenaran Terbang daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Bagaimanapun, dipercayai berlaku masalah teknikal pada pesawat ringan berkenaan ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan ujian itu sebelum dilaporkan terhempas.

“Pukul 11.39 pagi kami menerima panggilan. Jentera bomba Merlimau seramai lapan orang sampai di lokasi 11.53 pagi setelah kita terima maklumat mengatakan sebuah pesawat ringan terhempas di tepi tasik.

“Kerja-kerja menyelamat dilakukan bomba dan semasa sampai kita dapati mangsa sebelah pemandu keluar di tepi sungai dan seorang lagi terperangkap. Mangsa yang disahkan meninggal dunia itu adalah juruterbang,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas hari ini.

Menurutnya lagi setiba di lokasi, mangsa yang terselamat Shahrul Safiri, 35, telah berjaya dikeluarkan orang awam dan mendapati sebuah pesawat ringan dalam keadaan terbalik berada di dalam sungai yang dipenuhi air dalam kawasan belukar.

Katanya, bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang maut berikutan pesawat terbabit telah tenggelam sepenuhnya selain dikelilingi dengan belukar dan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Muar bagi menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sehingga kini, kerja-kerja membawa keluar pesawat ringan itu masih sedanag dijalankan. – MalaysiaGazette