TANJONG KARANG – Mana-mana pemimpin kerajaan negeri perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik dan boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membantu rakyat khususnya untuk kepentingan agama.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, projek pembangunan surau mahu pun masjid yang diusahakan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak wajar dibatalkan kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam.
“Jangan sebab kepentingan agama, kita nak campur tangan dengan politik, akhirnya kita akan berpecah dalam perpaduan ummah.
“Contohnya pada hari ini di mana surau ini peruntukannya datang daripada kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU).
“Walaupun peruntukan ini diluluskan sebelum PRU-14 tetapi apabila BN kalah dan jadi pembangkang, akhirnya peruntukan untuk surau ini dibatalkan.
“Bila kita perjuangkan semula, minta balik, kita telah dapat semula peruntukan RM500,000 (bina surau),” katanya.
Terdahulu Noh menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Meroboh Membina Baharu Bangunan Surau Nurul Zaman, Taman Seri Bakti di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Surau Nurul Zaman di sini antara kemudahan ibadat umat Islam yang dibatalkan pembangunannya oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor selepas PRU-14 lalu.
Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja BN kembali membentuk kerajaan persekutuan dan hasil rundingan dua kerajaan itu, pembangunan surau terbabit dapat disambung semula.
“Walaupun lama tertangguh hampir empat tahun tapi akhirnya bila kita duduk berbincang secara semangat perpaduan ummah, menegakkan agama, Alhamdulillah kita dapat menjalankan kerja ini.
“Kita ada kesefahaman bahawa surau ini kita jalan dulu, dalam masa sama proses ikut peraturan, status tanah dan lain-lain peraturan yang ditetapkan dia berjalan serentak.
“Kalau nak tunggu selesai dengan peraturan yang dikenakan oleh pejabat tanah, majlis, saya ingat tak siap surau ini.
“Kita ada kesefahaman, jalan bersama-sama, kita harap surau ini siap dan semua prosedur dan peraturan lain itu akan diselesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette