Home Nasional Lif, eskalator LRT Ampang Park dibuka semula selewat-lewatnya 25 Mei ini

Lif, eskalator LRT Ampang Park dibuka semula selewat-lewatnya 25 Mei ini

Para pengguna kemudahan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Ampang Park yang kecewa selama ini selepas lif dan eskalator tidak berfungsi kini boleh menarik nafas lega tidak lama lagi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Para pengguna kemudahan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Ampang Park yang kecewa selama ini selepas lif dan eskalator tidak berfungsi kini boleh menarik nafas lega tidak lama lagi.

Ini kerana masalah berkenaan bakal berakhir tidak lama lagi.

Kedua-dua kemudahan itu akan dibuka semula untuk kegunaan penumpang LRT di stesen berkenaan selewat-lewatnya 25 Mei ini, kata Syarikat Rapid Rail Sdn.Bhd yang memberikan jaminan itu hari ini.

Rapid Rail merujuk kepada video yang tular di media sosial mengenai kesulitan yang dihadapi oleh pengguna LRT akibat lif dan eskalator yang tidak berfungsi di Stesen LRT Ampang Park.

Pihaknya juga merakamkan permohonan maaf dan kekesalan atas kesulitan tidak dijangka itu yang menyukarkan perjalanan penumpang selama ini.

“Untuk makluman, pihak Rapid Rail sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan pembaharuan permit mesin angkut dan kelulusan untuk lif dan eskalator tersebut beroperasi semula.

“Ia dijangka dibuka semula untuk kegunaan para penumpang selewatlewatnya 25 Mei 2022,” katanya.

Tambah Rapid Rail lagi, selain dua stesen yang dinyatakan tahap operasi fasiliti di stesen-stesen Rapid KL adalah 96.5 peratus bagi lif dan 90 peratus bagi eskalator.

Namun terdapat fasiliti yang masih belum berfungsi dan ia disebabkan beberapa faktor terutamanya kelewatan pembekalan alat ganti akibat penutupan sementara kilang di Shanghai kerana perintah berkurung oleh kerajaan China.

“Proses penyelengaraan dan baikpulih akan disiapkan secara berperingkat dan jangkaan tarikh siap sepenuhnya adalah di LRT Ampang/Sri Petaling dan LRT Kelana Jaya pada 30 September ini disusuli Monorel (31 Julai 2022) dan MRT Laluan Kajang 30 September 2022.

“Jangkaan tarikh siap ini bergantung kepada keadaan semasa di Shanghai yang mana tempoh tiga bulan diperlukan bagi proses penghantaran alat ganti dari kilang pembekal original equipment manufacturer (OEM) di China.

“Pada masa yang sama, Rapid Rail sedang memantau rapat pembekal dan kontraktor bagi mempercepatkan perolehan dan pemasangan alat ganti,” katanya.

Bagi membantu para penumpang yang memerlukan bantuan khusus, pihak operasi Rapid Rail akan sentiasa memastikan kakitangannya lebih peka tentang keadaaan di pintu masuk dan segera memberikan bantuan.

“Para penumpang juga boleh ke kaunter khidmat pelanggan atau berinteraksi dengan pihak polis bantuan yang menyelia landasan di stesen berkenaan bagi mendapatkan sebarang bantuan.

“Rapid Rail amat menghargai maklum balas daripada pengguna setia Rapid KL dan berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera serta memberi keselesaan dan kemudahan kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette