Home Politik Isu Zafrul: Kita terima siapa sahaja bantu UMNO – Zahid

Isu Zafrul: Kita terima siapa sahaja bantu UMNO – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar (dua kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kanan) hadir ke Majlis Rumah Terbuka dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri cawangan UMNO Bahagian Sungai Besar di Pejabat UMNO Sungai Besar, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 MEI 2022.

SUNGAI BESAR – UMNO sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk menteri Kabinet untuk membantu parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan umat Islam masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri, kehadiran menteri kanan itu ke kawasan UMNO bukan satu kesalahan.

“Tak apalah, ini Hari Raya (Aidilfitri), datanglah.

“Dia (Tengku Zafrul) nak menyumbang bagi bantuan, kita terima siapa pun,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Sungai Besar malam ini.

Beliau mengulas tindakan seorang menteri Kabinet yang turun menganjurkan program bersama rakyat di beberapa kawasan tertentu di Selangor.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Kuala Selangor mengeluarkan arahan kepada pemimpin parti di kawasan tersebut supaya tidak terlibat dengan program Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BACA: UMNO Kuala Selangor diarah jangan terlibat program Tengku Zafrul

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp berhubung surat daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang memberi arahan kepada kepimpinan bahagian untuk tidak terlibat dengan program melibatkan Zafrul.

Ketika ditanya tentang calon pilihan raya bagi mewakili UMNO, Ahmad Zahid berkata, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Calon, kita belum fikir lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Calon tak tentu, apa salahnya Zafrul turun kawasan – Noh Omar