Home Nasional Kenyataan Kit Siang boleh ulangi tragedi 13 Mei

Kenyataan Kit Siang boleh ulangi tragedi 13 Mei

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai kenyataan veteren DAP, Lim Kit Siang yang dimuat naik di twitter di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan kontroversi Lim Kit Siang.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kenyataan bertajuk ‘Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka’ itu dianggap menghasut rakyat Malaysia untuk turut sama berbuat demikian.

“Kenyataan itu seperti menghasut supaya rakyat Malaysia bangkit berbuat demikian juga. Ini kenyataan yang berat, walhal rakyat Malaysia harmoni dan pemimpin juga menyantuni rakyat. Kenapa Kit Siang nak huru-harakan rakyat, buat kacau-bilau dan tunjuk contoh tidak baik. Itu Sri Lanka, di Malaysia bukan macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama tiga NGO lain iaitu Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Pertubuhan Kebajikan Penawar Bersatu Malaysia (Penawar).

Abdul Rani Kulup Abdullah

Jelas Abdul Rani, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka supaya pengikutnya tidak terpengaruh dengan kenyataan tersebut.

“Saya gesa beliau mohon maaf dan cukuplah buat isu sehingga membabitkan ugutan kebakaran. Jangan putar belit kenyataan sebegitu. Kepada rakyat Malaysia, jangan terpengaruh dan terpedaya hingga boleh membuat kacau-bilau rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, kenyataan itu boleh mencetuskan tragedi berdarah 13 Mei 1969 berulang kembali jika tidak dibendung lebih awal.

“Bermula dengan kata-kata seorang pemimpin yang berpengaruh akan menjadikan rakyat terpengaruh. Kita tidak mahu lagi peristiwa 13 Mei berlaku lagi sebab kita mahu hidup secara harmoni bersama-sama,” jelasnya.

Terdahulu, pemimpin veteran DAP itu meramalkan rumah perdana menteri dan menteri-menteri di negara ini mungkin akan dibakar oleh rakyat pada tahun 2057 atau 2063.

Andaian tersebut dibuat menerusi di blognya kelmarin berdasarkan situasi yang berlaku di Sri Lanka ketika ini, yang mana penunjuk perasaan telah membakar rumah para pemimpin negara Asia Selatan itu. – MalaysiaGazette