Home Politik Muhyiddin beri bayangan bentuk kerajaan campuran

Muhyiddin beri bayangan bentuk kerajaan campuran

Muhyiddin (tengah) ketika menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Parti Gerakan di Juru Autocity, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kerajaan campuran akan dibentuk demi kestabilan politik negara.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan,  ia juga  satu langkah mengelak kumpulan kleptokrat kembali berkuasa penuh dalam membentuk kerajaan.

Muhyiddin.

“Keadaan negara sekarang tidak baik dan kita mesti ada satu cara untuk menangani masalah ini dalam konteks yang besar, antaranya adalah melalui kestabilan politik.

“Sudah tiba masanya semua parti politik tidak kira Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) mahupun PN mesti cari jalan serta melakukan pengorbanan demi negara.

“Memang tak senang untuk berbuat demikian tetapi ia adalah satu jalan penyelesaian terbaik bagi negara yang berdepan ketidakstabilan politik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Parti Gerakan di Juru Autocity, Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dan Timbalannya, Oh Tong Keong.

Semalam Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, PN sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, ia akan mengelakkan pertembungan antara kedua-dua gabungan itu dan memastikan pertarungan dengan BN dalam pilihan raya kelak.

“Secara rasmi, belum ada sebarang pertemuan dengan Pakatan (PH) tetapi terdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh pihak tertentu untuk membincangkan bagaimana PN dan PH dapat mengelak pertembungan antara satu sama lain pada PRU15,” katanya. – MalaysiaGazette