KUALA LUMPUR- Pergerakan Puteri UMNO digesa melengkapkan diri dengan fakta sebagai senjata menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terhadap kerajaan.
Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Tan Sri Prof. Emeritus Ibrahim Abu Shah berkata, fakta-fakta yang tepat sahaja dapat menangkis tohmahan yang dilemparkan pembangkang.
“Supaya nanti kita boleh mematahkan setiap tohmahan pembangkang. Bahawa DAP benci Islam, kita ada fakta DAP ada perancangan mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang kotor,” kata ketika merasmikan majlis penutupan Wacana Pendidikan Malaysia anjuran Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Antarabangsa di sini petang tadi.
Ibrahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata sayap UMNO juga tidak boleh berasa selesa kerana peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang bergaya tidak seperti 20 tahun dahulu.
Beliau juga yakin BN mampu menang pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti situasi parti pembangkang yang tidak stabil.
“Jadi saya yakin situasi ini memberikan kelebihan kepada UMNO dan BN untuk memenangi PRU kali ini, jika boleh dengan majoriti dua pertiga,” katanya lagi.
Majlis yang pertama kali dianjurkan ini dihadiri kira-kira 300 ahli Puteri UMNO bahagian seluruh Malaysia – Malaysia Gazette