KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.
“Beliau (Zamihan) telah dibebaskan kira-kira 2 petang tadi. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin,” katanya ringkas.
Zamihan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas memberi keterangan pada 3.50 petang Rabu.
Beliau direman bermula Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948. – BERNAMA