KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar sedia menerima kehadiran Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kawasan Parlimen tersebut walaupun ada bahagian tertentu parti itu di Selangor menolaknya.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus berlapang dada dan tidak menolak mana-mana pemimpin yang turun padang untuk memberi sokongan moral dan bantuan termasuk dalam bentuk dana bagi membantu pihaknya.
Ini kerana beliau melihat ketika ini Selangor memerlukan pemimpin seperti Tan Sri Noh Omar dan Tengku Zafrul bagi membantu untuk UMNO negeri merampas kembali kerajaan Selangor.
“Soal calon urusan pucuk pimpinan parti…dalam agenda politik untuk memenangkan Selangor perlukan pengorbanan dan perlu ada yang dikorbankan menangkan impian tawan Selangor.
“Tengku Zafrul sangat dialu-alukan bagi membantu terutama dalam menaikkan semangat juang jentera UMNO dari segi program dan sebagainya.
“Kita jangka, tak ada pemimpin lain, maksudnya pemimpin di Selangor perlu beri sokongan. Sungai Besar sokong Tengku Zafrul bawa manfaat kepada UMNO Selangor,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini malam tadi.
Jamal turut mengingatkan agar kepimpinan bahagian
melupakan sikap ego masing-masing dan berubah secara menyeluruh selepas tiga penggal UMNO tidak menerajui pentadbiran negeri Selangor.
Katanya, apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran dan pelajaran berguna dalam berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Saya memang menawarkan diri sebelum ini untuk menjadi calon Parlimen Sungai Besar namun berlapang dada sekiranya Tengku Zafrul berminat. Soal calon ini akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan saya okay jika tak terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal berkata, sudah tiba masanya UMNO negeri membuat pengumuman awal mengenai calon yang bakal diketengahkan pada PRU-15.
Katanya, beliau sendiri akan melakukan perkara itu dalam mesyuarat yang akan diadakan.
Tambah beliau, langkah itu penting agar bakal calon dapat sokongan dan bukannya mengenengahkan mereka secara saat-saat akhir. – MalaysiaGazette