KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak sesekali menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk tujuan kepentingan dirinya.
Malah setiap sen yang masuk ke dalam yayasan itu sebenarnya adalah hasil titik peluhnya sejak tahun 1970-an sehingga akaunnya dibekukan dan sebelum itu beliau sudah membelanjakan puluhan juta bagi melakukan amal jariah seperti ajaran allahyarham bapanya.
“Semua sumber Yayasan Akalbudi sebenarnya bukanlah datang dari kerajaan mahu pun wang pembayar cukai sebaliknya semuanya adalah wang saya sendiri. Untuk makluman semua, sebelum saya menyandang jawatan anggota pentadbiran seperti timbalan menteri, menteri dan timbalan perdana menteri, saya sudah memiliki pendapatan tinggi.
“Gaji-gaji itu adalah dari syarikat korporat, saya juga pernah ketuai empat syarikat di bursa, saya pernah jadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN). Selain itu saya juga mempunyai pendapatan dari dividen pelaburan saham, juga elaun urusniaga korporat serta lain-lain seperti urusniaga trading.
“Saya juga mendapat sumbangan dari rakan-rakan korporat yang telah menyumbang ketika saya tidak ada apa-apa jawatan kerajaan. Sejak 70-an, saya telah menyumbang ke dalam Yayasan Akalbudi bagi tujuan amal jariah dan kebajikan bernilai puluhan juta ringgit,” kata Presiden UMNO itu.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pada 24 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan prima facie terhadap tertuduh.
Untuk rekod, Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali pada 19 Oktober 2018 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tersebut.
Prosiding sedang bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette