Home Ekonomi Harga minyak naik ketika bekalan semakin terhad

Harga minyak naik ketika bekalan semakin terhad

Gambar hiasan. foto Getty Images

MELBOURNE – Harga minyak naik dalam dagangan awal hari ini susulan bekalan bahan api Amerika Syarikat semakin ketat dan dolar AS yang sedikit lemah.

Kenaikan harga berlaku ketika Shanghai bersiap sedia untuk menarik sekatan pergerakan semula.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0.82 kepada AS$113.37 setong pada 0126 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) naik AS$0.69 , atau 0.6%, kepada AS$110.97 setong, menambah kepada keuntungan kecil minggu lalu bagi kedua-dua kontrak.

“Harga minyak disokong kerana pasaran petrol kekal ketat di tengah-tengah permintaan kukuh yang menuju ke puncak musim pemanduan di AS,” kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Musim pemanduan puncak AS. secara tradisinya bermula pada hujung minggu Memorial Day pada akhir Mei dan berakhir pada Hari Pekerja pada bulan September.

ANZ dalam nota penyelidikannya berkata, data frekuensi tinggi mencadangkan permintaan ke atas minyak terus berkembang.

Nilai dolar AS yang lemah turut mendorong kenaikan harga minyak kerana ia menyebabkan harga emas hitam itu lebih murah kepada pembeli yang menggunakan matawang lain.

Walaupun Shanghai akan dibuka semula pada 1 Jun ini namun kebimbangan terhadap usaha China untuk menangani sekatan Covid-19 masih ada.

Sekatan pergerakan di China yang merupakan pengimport minyak utama dunia, telah menjejaskan pengeluaran dan pembinaan perindustrian, mendorong langkah untuk menyokong ekonomi, termasuk pemotongan kadar gadai janji yang lebih besar daripada yang dijangkakan pada Jumaat lalu.

Ketidakupayaan Kesatuan Eropah untuk mencapai persetujuan muktamad mengenai pengharaman minyak Rusia yang melakukan pencerobohan ke atas Ukraine, yang Moscow panggil sebagai “operasi khas”, juga telah menghentikan harga minyak daripada naik jauh lebih tinggi. – MalaysiaGazette