AMPANG – Sudah tiba masanya UMNO menamakan calon-calon pilihan raya lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan sabotaj dalaman hingga merugikan parti itu khususnya di Selangor.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa, tindakan menamakan senarai calon pada saat akhir hanya mengundang perpecahan parti dek kerana perebutan pimpinan menjadi calon.
“Sudah tiba masanya UMNO pusat atau UMNO Selangor, saya sebagai Ahli Jawatankuasa dan juga Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.
“Saya akan memberi pandangan supaya calon-calon kita namakan lebih awal dan calon-calon tersebut datang daripada bahagian.
“Sebelum ini saya lihat, calon-calon diumumkan pada saat akhir dan bukan sahaja di Sungai Besar bahkan semua bahagian di Selangor masing-masing berebut nak jadi calon.
“Malah sudah bermula kempen, ia bukan baik tapi ingin menjatuhkan satu satu sama lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di sini malam tadi.
Tambahnya, pengalamannya sejak dua pilihan raya negeri di Selangor mendapati, UMNO sebenarnya kuat, namun perbalahan dan sabotaj antara sesama sendiri menyebabkan parti itu gagal membentuk kerajaan negeri.
“Kumpulan A dapat jadi calon, kumpulan B dan kumpulan C pula sabotaj, kalau di Kelantan dipanggil Cah Keting.
“Budaya di Kelantan itu sudah ada di Selangor, sebab itu UMNO Selangor tak boleh bangkit setelah tiga penggal, ini nak masuk penggal keempat.
“Jangan (umum) saat akhir lagi, kaedah ini sudah tiga penggal tak boleh pakai di Selangor,” katanya.
Katanya, tindakan beliau sebelum ini yang menamakan Datuk Mohd Imran Tamrin sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang lebih awal berjaya memenangkan kawasan itu.
“Macam mana saya cipta (kemenangan) Sungai Panjang, Datuk Imran, dua tahun sebelum beliau pilihan raya, saya sudah umumkan beliau menjadi calon.
“Di peringkat bahagian perlu memberikan sokongan kepada bakal calon sebab belum dapat watikah untuk memikul tanggungjawab sebagai calon dan menang dalam pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette