KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) baharu untuk membuka laluan kepada kerjasama kawal selia, penguatkuasaan dan pengawasan yang lebih besar antara kedua-dua pengawal selia berkenaan.
MOU tersebut berasaskan dan mengukuhkan lagi Memorandum Kerjasama dan Bantuan Bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua agensi pada 2004 berikutan persekitaran perniagaan yang kian berubah serta perkembangan kawal selia dan dasar baharu.
Ia merangkumi aktiviti pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal di Malaysia, akan membolehkan SC dan Labuan FSA mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pemantauan risiko dan meningkatkan
kestabilan pasaran modal.
MOU itu juga akan meningkatkan penyediaan bantuan teknikal, pembinaan kapasiti dan pertukaran maklumat antara kedua-dua pengawal selia.
Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, kerjasama ini merupakan inisiatif
penting untuk mengembangkan pasaran modal dan mencapai kerjasama dan sinergi
yang lebih besar antara SC dan Labuan FSA.
”Penyeliaan dan pengawasan sentiasa menjadi teras kepada mana-mana mandat pengawal selia. Peningkatan kerjasama ke arah membina persekitaran kawal selia yang kukuh, inovatif dan stabil akan memacu pertumbuhan segmen pasaran sedia ada dan baharu serta memanfaatkan pasaran, peserta dan pelabur,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Labuan FSA, Datuk Siti Zainab Omar berkata, ‘MOU ini akan membuka jalan kepada SC dan Labuan FSA untuk mengukuhkan lagi
kerjasama yang telah lama terjalin, dalam memastikan pembangunan industri pasaran
modal di Labuan IBFC dan landskap pasaran modal Malaysia. – MalaysiaGazette