GEORGE TOWN – Polis merakam keterangan pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan pemandu serta kelindan lori di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala pulau di sini, hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemandu berusia 50-an itu dibawa ke balai polis bagi mengambil keterangan.
“Berdasarkan siasatan awal, treler tersebut rosak dan diberhentikan di tengah jalan atas jambatan namun pemandu lori yang membawa muatan serai itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang treler itu.
“Kita bawa balik pemandu treler ke balai polis untuk soal siasat dan setakat ini tiada elemen cuai itu susulan treler itu dilaporkan rosak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya akan memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga mangsa maut.
“Pemandu dan kelindan lori itu berasal dari Baling, Kedah dan mayat mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
ARTIKEL BERKAITAN
Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily memberitahu laluan sepanjang kawasan kemalangan juga dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan.
“Memang berlaku kesesakan luar biasa hari ini namun kita sudah buka laluan buat pengguna jalan raya,” katanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan serai maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala pulau di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 5 pagi itu menyebabkan badan pemandu lori tersebut terputus dua, selain kedua-dua mereka tersepit dalam lori tersebut.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Fazrol Maarof, 39, dan kelindannya, Muhammad Amirrudin Azizan, 19 tahun. – MalaysiaGazette