Home Sukan Syed Sobri tidak mahu dijulang wira Kelantan FC

Syed Sobri tidak mahu dijulang wira Kelantan FC

Syed Sobri Syed Mohamad (kiri) dan Reezal Zambery Yahya. Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Walaupun jaringannya menjadi gol kemenangan buat pasukan ketika mengatasi Selangor 2, pemain tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad tidak mahu menganggap dirinya sebagai wira.

Menurut Syed Sobri, dia hanya menjalankan tugasannya sebagai pemain dan paling penting adalah kejayaan mutlak buat Kelantan.

Malah, dia mengakui kemenangan bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai memandangkan saingan hebat diberikan Selangor 2 selain tekanan untuk bergelar pendahulu Liga Premier.

“Sesiapa sahaja yang jaringkan gol itu tidak penting kerana lebih utama ialah pasukan yang mendapatkan kemenangan.

“Tiga mata ini datang dari usaha keras rakan sepasukan semasa sesi latihan dan segalanya terbalas dengan kemenangan penting malam ini,bukannya usaha saya seorang.

“Apa yang penting, kejayaan ini meletakkan Kelantan bergelar pendahulu dengan kelebihan tiga mata itu pasti menyemarakkan keyakinan pasukan.

“Terima kasih kepada penyokong -penyokong yang hadir pada perlawanan ini dan sentiasa di belakang pasukan, kejayaan ini adalah untuk anda,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Syed Sobri meledak jaringan pada minit-61 melalui rembatan jarak jauh selepas susulan dari bola sepakan percuma Nurshamil Abdul Ghani.

Dua jaringan peribadi yang dilakukan oleh Syed Sobri setakat ini menyamai rekod golnya pada musim lalu bersama Kelantan FC.

Syed Sobri sebelum ini hampir bersara sepenuhnya dalam arena bola sepak selepas tidak mendapat tawaran dari mana-mana pasukan pada awal musim lalu setelah kelab lamanya, UKM FC dibubarkan.

Namun Kelantan FC menerusi di bawah Rezal Zambery Yahya melamarnya pada pintu perpindahan kedua pemain dan seterusnya menjadi lembaran baharu dalam kariernya.

Dalam pada itu penyerang Kelantan FC, Nixon Guylherme, menganggap rekod cemerlang di laman lawan setakat ini sebagai satu rekod yang pasti akan memberikan sedikit kelebihan buat mereka untuk mendakap kejuaraan Liga Premier.

Walaupun begitu, dia akui sedikit kecewa kerana terlepas beberapa peluang meletakkan dirinya dalam senarai penjaring yang boleh memberikan kemenangan lebih selesa kepada Kelantan.

“Kami berjaya memenangi tujuh dari lapan perlawanan di tempat lawan dan apabila bakal bermain di tempat sendiri nanti akan memberikan kami lebih keyakinan.

“Saya terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan sememangnya saya mahu mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk pasukan.

“Namun rakan sepasukan lain telah melaksanakan tugas dengan baik dan kami berjaya memperoleh kemenangan, fokus kami seterusnya ingin mendapatkan kemenangan pada aksi akan datang apabila bertemu Kelantan United,” katanya. – MalaysiaGazette