Home Seni Hidup Jambatan sesak, graduan tumpang penunggang motosikal pergi konvokesyen

Jambatan sesak, graduan tumpang penunggang motosikal pergi konvokesyen

Gambar tular menunjukkan Kevin meminta bantuan daripada penunggang motosikal untuk menumpangnya ke USM.

GEORGE TOWN – Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM), R. Kevin nekad menumpang motosikal pengguna jalan raya bagi menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 USM susulan terperangkap dalam kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang hari ini.

Graduan berusia 28 tahun itu bersama ahli keluarganya bertolak dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada pukul 6.30 pagi namun apabila tersangkut kerana kesesakan walaupun sudah pukul 9 pagi.

Lantaran itu, beliau terpaksa mencari alternatif lain.

“Keadaan memang panik ketika itu dan saya hanya fikir mahu tumpang penunggang motosikal untuk ke majlis konvokesyen kerana tidak mahu terlepas peluang naik ke pentas untuk menerima ijazah.

Kevin.

“Saya turun dari kereta sambil memegang jubah konvokesyen serta mencuba nasib dengan menahan motosikal yang melalui laluan itu.

“Mujurlah ada penunggang motosikal yang sudi berhenti dan membantu saya untuk sampai ke USM,” katanya di sini hari ini.

ARTIKEL BEKAITAN 

Dua maut kemalangan, badan pemandu lori terputus dua

Kevin tidak menyangka insiden kemalangan yang berlaku di atas jambatan berkenaan menyebabkan trafik tidak bergerak dan berlaku kesesakan luar biasa.

“Dalam keadaan tergesa-gesa itu, saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia berkenaan namun saya ambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Memang terharu dengan bantuannya dan tanpa pertolongan itu, saya mungkin tidak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” katanya.  

Terdahulu, tular di media sosial foto Kevin memegang jubah berdiri di atas jambatan berkenaan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang menghala masuk bahagian pulau.

Foto itu mendapat reaksi warganet yang mendoakan supaya graduan terbabit selamat tiba pada waktunya bagi menghadiri upacara berkenaan.

Sementara itu, pihak pengurusan universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM menangguhkan upacara sidang kelima berkenaan selama 30 minit berikutan kesesakan itu.

Upacara Konvokesyen yang dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan itu sepatutnya bermula pada jam 10 pagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Nahas Jambatan P. Pinang: Polis rakam keterangan pemandu treler