MELAKA – Seorang posmen sebuah syarikat penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas ketika bertugas di kaunter serahan pos pada Mac lalu.
Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa mencuri seutas rantai leher emas berloket tertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada kira-kira pukul 8 hingga 10.30 pagi pada 10 Mac lalu di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama Melaka.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang sudah 15 tahun bertugas sebagai posmen didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menghapuskan harta curi terbabit dengan menjualkannya di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah di sini menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam, Amritpal Singh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, kehilangan barang kemas berharga RM6,800 beserta insurans itu disedari selepas pengadu dimaklumkan barangannya telah diisytiharkan hilang ketika transit.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan adalah serius.
Mohamad Izwan dalam penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette