Home Nasional Bunuh diri: Operator Jambatan P. Pinang perlu segera cari jalan penyelesaian

Bunuh diri: Operator Jambatan P. Pinang perlu segera cari jalan penyelesaian

Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa syarikat konsesi yang mengendalikan Jambatan Pulau Pinang dan pihak berkaitan mencari penyelesaian segera dalam menangani kes bunuh diri yangkerap berlaku.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, polis serta pihak keselamatan lain juga diminta  kerap melakukan rondaan di atas jambatan itu bagi mengelakkan tragedi yang sama terus berulang.

Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Kerja Raya dan PLUS memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di atas jambatan untuk tujuan pemantauan, sekali gus  mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera sekiranya ada individu berhenti dalam keadaan mencurigakan.

“Mengikut laporan, sebanyak lima kes bunuh diri di jambatan dalam tempoh dua minggu yang lalu. Angka ini amat mengejutkan dan menyedihkan.

“Sehubungan itu, saya berpendapat, pihak berkuasa yang berkaitan harus mengambil serius isu bunuh diri di jambatan dan mencari cara penyelesaian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan juga perlu mencari punca kes bunuh diri yang kerap berlaku.

“Adakah ia disebabkan tekanan hidup membabitkan kenaikan kos sara hidup atau disebabkan isu emosi?

“Dalam masa sama, saya juga mohon orang awam yang mempunyai masalah hidup atau kemurungan jangan mudah putus asa. Cuba dapatkan bantuan daripada kawan atau kaunselor profesional bagi mengelakkan diri terus terjerumus dalam emosi yang negatif,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Lagi insiden wanita terjun Jambatan Pulau Pinang

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun Jambatan Pulau Pinang.

Usaha mencari wanita berusia 22 tahun itu sedang giat dijalankan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang. – MalaysiaGazette