Home Pendapat Proses demokrasi PKR terbantut?

Proses demokrasi PKR terbantut?

PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan.

KETELUSAN  ahli Parti Keadilan Rakyat dalam memastikan proses demokrasi berlangsung sebaik mungkin pada pemilihan kali ini amat membanggakan. Halangan dan cabaran dari segi pengelolaan proses pemilihan secara hybrid buat pertama kali bagi sebuah parti politik dalam negara kita, berjaya diharungi dengan semangat kesepakatan ahli akar umbi agar amanat disampaikan kepada pemimpin cabang dan pusat pilihan masing-masing secara damai.

Pendekatan dari segi perkongsian data terperinci keahlian cabang dan jumlah pengundi yang telah mengambil bahagian di dalam pemilihan Keadilan cukup berbeza dengan parti politik lain, kerana lazimnya mereka lebih selesa menjalankannya secara tertutup. Namun kita tidak boleh nafikan hak perlembagaan mereka selagi proses demokrasi tetap berjalan secara adil. Lebih dikesali apabila timbul laporan di media massa, serta aduan oleh ahli parti akan ketidakbertanggungjawaban Jawatankuasa Pemilihan Pusat Keadilan sewaktu pemilihan kali ini.

Persoalannya adalah bagaimana JPP berjaya mengemas kini jumlah statistik terkini pengundi di laman sesawang, tetapi gagal mengumumkan keputusan di peringkat cabang? Adakah Keadilan yang dikenali sebuah parti reformis masih bermain politik bayangan belakang tabir? Sekiranya ketika Suruhanjaya Pilihan Raya mampu memberikan keputusan pengundian melalui kertas pada hari yang sama, apakah alasan munasabah JPP memandangkan pengundian dilakukan melalui tablet dan data dikumpulkan di dalam server.

Mengimbas kembali pemilihan yang lalu seramai 140,365 pengundi telah mengambil bahagian manakala kali ini pula, seramai 137,109 ahli telah mengundi dengan baki 8 buah cabang masih belum selesai. Data kasar diperoleh dari segi pertambahan ahli dan pengurangan jumlah pengundi bukanlah gambaran sepenuhnya. Laporan media bahawa baru 12 peratus ahli parti telah mengundi pada pemilihan kali ini sebaliknya menggambarkan kematangan akar umbi dari segi penerimaan calon pimpinan. Tapi mengapa JPP masih melengahkan pengumuman keputusan sekurang-kurangnya di peringkat cabang?

Kita memahami bahawa kuasa terletak pada JPP dalam sebarang pengumuman rasmi atau tidak rasmi. Malangkali kelemahan dari segi penyampaian di media mewujudkan persepsi ketidakadilan bagi mereka yang telah bertungkus lumus dalam usaha mobilisasi pengundi di peringkat cabang masing-masing. Tidak wajar bagi beberapa cabang sebelum ini yang terpaksa menunggu lebih dari seminggu untuk mengetahui keputusan pemilihan.

Jika dikaji semula kenyataan media JPP baru-baru ini, pemutaran belit fakta dilihat seloah-olah cubaan menutup aib mereka sendiri. Tidak perlu berdolak-dalik dengan ahli parti kerana JPP harus bersikap lebih bertanggungjawab sekiranya mahu dilihat sebagai sebuah jawatankuasa yang berintegriti.

Keadilan harus meyakinkan pemerhati bahawa proses demokrasi berjalan secara telus di dalam parti tanpa sebarang perjudis sekiranya mahukan sokongan rakyat di pilihanraya umum kelak.

Mohd Shahimi Hashim
Ahli PKR Selangor