Home Seni Hidup ‘Ketentuan Takdir’ datang pada waktu hidup saya bergolak – Aishah

‘Ketentuan Takdir’ datang pada waktu hidup saya bergolak – Aishah

Penyanyi, Datuk Aishah Ariffin menyanyikan lagu terbarunya semasa hadir ke Majlis pelancaran Single Terbarunya di Menara Symphony, Petaling jaya. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2022.

PETALING JAYA – Setelah lama menyepi dengan lagu terbaharu, penyanyi legenda Datuk Aishah kini tampil dengan single bertajuk ‘Ketentuan Takdir’.

Karya terbaharu Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 57 ini merupakan hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan.

Dilihat lebih terbuka dan tenang, Aishah berkongsi menerima lagu ini ketika hidupnya berada dalam fasa pergolakan apabila rumah tangga yang dibina sejak 2014 berakhir pada tahun lalu.

Katanya, ketika itu beliau merasa ‘Ketentuan Takdir’ dekat di hatinya dan menjadikannya lebih mudah untuk menghayati lagu berkenaan.

“Lagu ini kalau nak menyanyi plotnya mesti kita boleh kaitkan dengan hidup kita, ajaibnya Habsah Hassan ini banyak tulis lirik untuk saya yang selalu kena pada waktu. Masa beliau tulis lagu ini ia merupakan ketika berlaku pergolakan dalam kehidupan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single ‘Ketentuan Takdir’, di sini, hari ini.

Menyanyikan lagu baharu pada usia 57 tahun, Aishah berkata, meskipun merupakan penyanyi lama yang cukup dikenali namun beliau tidak malu untuk belajar vokal semula dan menimba ilmu baharu berkaitan nyanyian.

“Lepas 35 tahun menyanyi saya kembali belajar menyanyi dengan cikgu Siti Hajar, kita ini jangan terlalu ego sebab rupa-rupanya saya sedar banyak lagi benda yang saya tidak tahu selama ini tentang vokal dan dapat belajar dan guna ilmu baharu tentang nyanyian,” tambahnya.-MalaysiaGazette