KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden hairan mengapa kejadian tembakan secara besar-besaran terus berlaku di negaranya.
Kejadian itu menjadi persoalan kepadanya susulan kes terbaharu tembakan di sebuah sekolah di Texas yang mengorbankan 18 pelajar dan seorang guru.
Dalam media sosialnya, Biden turut melemparkan persoalan mengapa rakyat di negaranya boleh terus hidup dalam suasana pembunuhan secara beramai-ramai.
Biden juga pelik kerana kejadian seperti itu jarang berlaku di negara lain kecuali di AS.
Beliau menegaskan, sudah sampai masanya, AS mengambil tindakan tegas untuk menghalang kejadian tembakan secara besar-besaran daripada terus berlaku.
“Tembakan besar-besaran seperti ini jarang berlaku di tempat lain di dunia. Mengapa kita sanggup hidup dengan pembunuhan beramai-ramai ini?
“Mengapa kita terus membiarkan ini berlaku? Di mana Tuhan yang menjadi tulang belakang kita, mempunyai keberanian menghadapinya? Sudah tiba masanya untuk mengubah kesakitan ini menjadi tindakan,” tegas Biden di media sosialnya.
Media antarabangsa melaporkan, seramai 18 pelajar dan seorang guru di sebuah sekolah di South Texas maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki bersenjata tengah hari semalam.
Suspek dikenali sebagai Salvador Ramos berusia 18 tahun dipercayai ditembak mati oleh anggota polis di lokasi kejadian.
Berdasarkan laporan media, lelaki terbabit memandu dan masuk ke sekolah dengan senapang dan pistol.
Dua daripada pegawai polis turut terkena tembakan namun tidak mengalami kecederaan serius.
Pelajar yang menjadi mangsa terdiri daripada murid gred dua, tiga dan empat.- MalaysiaGazette