Home Nasional Lapor kegiatan ‘mat rempit’ yang semakin aktif

Lapor kegiatan ‘mat rempit’ yang semakin aktif

Kamarul Zaman Mamat (tengah) beramah mesra dengan wakil komuniti kawasan Bandar Seri Alam. Johor Bahru, Johor.

JOHOR bAHRU – Orang awam diminta memainkan peranan membantu polis membendung kegiatan lumba haram yang semakin meningkat, khususnya pada hujung minggu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, beliau telah mengarahkan agar semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Johor mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti merempit.

“Masyarakat memang mengeluh berhubung kegiatan ini, namun saya berpengalaman keluhan tanpa sebarang tindakan tidak akan menghasilkan apa-apa, jadi seharusnya salurkan maklumat kepada polis dan kami akan ambil tindakan sewajarnya.

“Sama-sama kita banteras kegiatan ini kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa anak-anak yang terlibat, ini kerana dalam aktiviti rempit itu tiada sebarang peraturan yang ditetapkan.

“Masing-masing akan berlumba dengan sepenuh hati tanpa menghiraukan bahaya dan risiko kehilangan nyawa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Wakil Komuniti Seri Alam, dekat sini, hari ini.

Jelas Kamarul Zaman, peningkatan aktiviti itu dapat dilihat selepas negara memasuki fasa peralihan ke arah endemik pada April lalu yang menyaksikan banyak kelonggaran telah diberi khususnya melibatkan pergerakan.

“Masa bila sudah buka semua, memang ada peningkatan dalam aktiviti merempit khususnya pada malam minggu, di Johor Bahru sendiri memang ada banyak lokasi hotspot mat rempit yang kita kenal pasti.

“Oleh itu, saya sudah berpesan kepada semua Ketua Polis Daerah untuk ambil tindakan kepada mereka termasuk sita kenderaan dan jika didapati terdapat penyalahgunaan dadah atau mabuk, tindakan lebih tegas akan dikenakan,” katanya. – MalaysiaGazette