Home Nasional Remaja bergaduh di restoran gara-gara rebut teman wanita

Remaja bergaduh di restoran gara-gara rebut teman wanita

Sekumpulan remaja termasuk pelajar sekolah yang terlibat dalam pergaduhan akibat campur tangan rakan sehingga membawa unsur kongsigelap akibat merebut teman wanita pelajar sekolah berjaya ditahan polis dalam kejadian di Klang.

KUALA LUMPUR – Gara-gara merebut teman wanita, seorang remaja yang masih bersekolah antara lapan individu diberkas kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.10 pagi.

Menurutnya, polis telah menjalankan siasatan berdasarkan satu video tular yang memaparkan beberapa orang individu bersenjatakan kayu besbol bertindak memukul seorang lelaki.

“Bertindak atas kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan dan juga D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor telah melakukan beberapa siri tangkapan di Kapar dan Klang.

“Hasilnya lapan lelaki termasuk remaja yang berusia antara 14 hingga 21 tahun di sekitar Kapar dan Klang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua suspek itu turut dirampas beberapa telefon bimbit, beberapa helai pakaian, sebuah kereta dan dua batang besi besbol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada perebutan teman wanita melibatkan sekumpulan pelajar sekolah.

“Namun begitu campur tangan dari rakan-rakan suspek dan mangsa telah membawa kepada unsur-unsur gangsterism iaitu kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Semakan rekod mendapati dua daripada lapan suspek yang diberkas mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Kesemua tangkapan itu telah dibawa untuk perintah reman di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.

“Kesemua suspek dibenarkan direman selama tiga hingga enam hari di bawah Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” katanya.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette