KUALA LUMPUR – Selepas pendedahan sebuah NGO mendakwa mempunyai bukti bahawa balu penyiasat persendirian (PI) Bala P. Balasubramaniam, A Santamil Selvi ditaja Americk Sidhu dan PKR, kini blogger Raja Petra Kamarudin pula tampil membuat pengakuan sama.
Pengakuan Raja Petra itu dibuat dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada MalaysiaGazette semalam yang mendedahkan bahawa PI Bala menerima gaji sehingga RM10,000 daripada pengendali blog Malaysia Today itu sejak berada di India lagi.
“Raja Petra juga mengaturkan bayaran untuk rumah Bala, yuran sekolah anak-anaknya dan juga memberikan dia sebuah kereta. Bila Bala kata dia nak balik Malaysia, Raja Petra hentikan semua pembiayaan itu.
“Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman (SB) ada menemui RPK di London dan dia beritahu SB ada mengaturkan pembiayaan tetapi dana itu datang daripada salah seorang pembiaya PKR,” kata Raja Petra dalam mesej menerusi aplikasi Whatsapp, semalam.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial, Ramesh Rao mendakwa mempunyai cakera liut (CD) bukti pengakuan balu Bala bahawa dia ditaja oleh Americk Sidhu dan PKR untuk menyaman Perdana Menteri dan isteri.
Ramesh mendakwa, CD yang mengandungi rakaman suara A Santamil Selvi berdurasi 26 minit 32 saat itu merupakan pengakuan balu Bala yang mendedahkan dalang yang membiayai dan mengarahkannya membuat pengakuan palsu.
Raja Petra berkata, pengendali blog Malaysia Today itu juga membiayai Bala untuk pergi ke London dan kemudian ke Perancis.
“Bala pergi ke pejabat Polis Perancis untuk merakamkan kenyataannya yang diaturkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
“Ketika itu Americk Sidhu turut mengiringi Bala ke London,” katanya. – MalaysiaGazette.