Home Sukan Bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang kembali latih Filipina

Bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang kembali latih Filipina

Thomas Dooley.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley kembali semula ke Asia Tenggara apabila diumumkan sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Filipina, lapor Asean Football.

Dia akan menggantikan tempat Scott Cooper yang telah letak jawatan beberapa hari lepas.

Namun tugas berat sedang menanti Dooley kerana dia hanya mempunyai masa dua minggu untuk mempersiapkan pasukan Filipina bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Mongolia pada Jun depan.

Dooley dipilih berdasarkan pengalamannya yang pernah membawa skuad Filipina layak ke Piala Asia 2019 secara merit selain pernah melatih pasukan itu sejak tahun 2014.

Selepas kontraknya di Filipina ditamatkan, dia kemudian dilantik sebagai pengarah teknikal kelab Viettel FC yang merupakan juara Liga Vietnam 1 2020.

Dooley kemudian menyertai Tok Gajah sebagai Ketua Jurulatih pada musim 2021 namun khidmatnya tidak bertahan lama ekoran prestasi merosot yang dipamerkan oleh Sri Pahang.

Nama Dooley cukup terkenal pada era 90-an kerana ketika zamannya sebagai pemain dan juha merupakan kapten skuad Piala Dunia USA pada tahun 1994 dan 1998.

Malah, beliau dia pernah membantu USA raih gelaran naib juara CONCACAF Gold Cup pada tahun 1993 dan 1998.

Selain itu, Dooley juga mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04.

Lebih menarik, dia pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan USA pada tahun 2011 hingga 2012. – MalaysiaGazette