KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tenang menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu pendrive yang pernah kecoh pada 2016.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) sekadar memberi emoji kaca mata hitam yang membawa maksud cool menerusi satu ciapan di Twitter pada Rabu.
Ciapan TMJ itu bagi membalas tweet yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, Zack Alif mengenai isu pendrive yang dibangkitkan oleh Menteri Kedah sebelum ini.
“Haters going to hate anyways. Si Sanusi ni pula nak bajet-bajet hero tetiba petik isu thumbdrive ni sedangkan @hrhjohorii dah pun serahkan thumbdrive pada pihak yang patut,” ciapnya.
Sementara itu, TMJ turut meninggalkan komen yang mengatakan bahawa kenyataannya adalah berlandaskan fakta.
“Facts. Ini TMJ bukan ahli politik,” komennya ringkas di Instagram (IG) dengan memuat naik tangkap layar komen berkenaan di IG Story @hrhcrownprinceofjohor miliknya.
Menurut laporan portal itu, sebenarnya isu pendrive sepatutnya tidak timbul lagi apabila siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah dan hanya salah laku teknikal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terkandung di dalamnya.
Malah TMJ memaklumkan tindakannya menyerahkan pendrive berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hanya untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dan bukan menghukum FAM.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, isi kandung dalam pendrive yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.
“Saya berikan kepada Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga.
“Saya hanya menasihatkan kepada individu berkenaan untuk berundur dengan cara baik tahun depan dan digantikan dengan individu yang lebih layak menjalankan tugas,” ujar TMJ ketika itu seperti dipetik laporan artikel berkenaan.
Semalam, isu pendrive dibangkitkan semula oleh Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dengan mempersoalkan hal pendrive yang pernah kecoh pada tahun 2016.
Ketika itu, TMJ mendakwa ada ketirisan berlaku dalam FAM dan baginda turut menyatakan segala bukti kesalahan tersebut wujud di dalam pendrive yang diperoleh menerusi orang-orang atasan yang rapat bersama pemilik JDT.
Pendedahan pendrive oleh TMJ pada ketika itu secara ringkas merumuskan bahawa FAM telah gagal menangani masalah mengatur perlawanan. – MalaysiaGazette