Home Ekonomi ASNB laksana migrasi sistem baharu, urus niaga ditangguh sementara mulai 4 Jun

ASNB laksana migrasi sistem baharu, urus niaga ditangguh sementara mulai 4 Jun

Mohammad Hussin

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan memindahkan sistem operasinya ke sistem baharu, selaras dengan objektifnya untuk meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pelaburnya.

Bagi memudahkan pelaksanaan migrasi ini, semua urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lainnya akan ditangguhkan sementara bermula pada 4 hingga 7 Jun 2022.

Tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun 2022 kecuali bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 yang berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

Penangguhan urus niaga ini melibatkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen-ejen seluruh negara serta saluran elektronik dan dalam talian termasuk portal dan aplikasi myASNB, perbankan internet ejen-ejen iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk
di cawangan ASNB serta Mesin Juruwang Automatik (Automated Teller Machine) di Maybank dan CIMB Bank.

Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah strategik untuk migrasi ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi yang lebih mudah dan moden agar ASNB dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih terkini.

Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur-pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan.

Beliau berkata, pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung.

”Bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran dalam talian, buatlah urus niaga seawal yang mungkin agar wang tersebut dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan,” katanya.

Pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran tiga kali dalam sebulan.

Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja berikutnya. – MalaysiaGazette