KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) sedang mengesan waris seorang pesakit lelaki yang tidak diketahui identititinya.
Lekai ini dipercayai berusia 40-an dan alamat terakhirnya di Blok 1A, Flat Sri Cendekia, Cheras, dekat sini.
Menurut HCTM. pesakit ini dihantar oleh ambulan ke Jabatan Perubatan Kecemasan dan ditempatkan di Wad 5E pada 30 April 2022 yang lalu.
Berdasarkan maklumat yang direkodkan oleh pegawai perubatan, pesakit ini dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh jirannya.
Setelah menjalani pemeriksaan kesihatan, pesakit telah didiagnoskan sebagai Right Basal Ganglia Hypertensive Bleed with Intraventricular Hemorrhage iaitu berlaku pendarahan pada saluran besar otak kanan yang menyebabkan serangan strok.
Pesakit masih menerima rawatan di Wad 5E dan hasil pemantauan mendapati keadaan pesakit masih tidak stabil dan kurang tindak balas.
Dia juga tidak boleh berkomunikasi sehingga menyebabkan perolehan maklumat mengenai dirinya adalah terhad.
Orang ramai yang mengetahui pesakit ini boleh berurusan dengan Siti Zaila Husin di talian 03-9145 5769 / 7880. – MalaysiaGazette