KUALA LUMPUR – Pengunduran Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat bukan pada masa yang sesuai.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat, pada masa sekarang, Zuraida seharusnya memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi dan bukannya politik.
“Banyak lagi isu nasional yang perlu diberi penumpuan, contohhnya larangan Indonesia membenarkan Malaysia mengeksport kelapa sawit, apakah langkah seterusnya. Ini bukan isu kecil kerana kelapa sawit juga antara produk utama negara.
“Apabila terjadinya perkara ini, sudah pasti Bersatu akan segera mencari pengganti kerana beranggapan kouta menteri itu adalah milik mereka.
“Akhirnya isu-isu negara tidak dapat diselesaikan apabila ada perkara-perkara ini berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, seharusnya Zuraida menjaga reputasinya sebagai menteri dan ahli Parlimen dengan meneruskan tugas dengan baik.
“Tapi perkara pun dah berlaku. Mungkin ada sesuatu telah berlaku antara Zuraida dan Bersatu kerana kenyataan itu dibuat ketika beliau di luar negara.
“Kalau baca pengumuman Zuraida seolah-olah Bersatu tidak dapat memenuhi aspirasinya,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Agil berkata, Zuraida tidak mempunyai kekuatan untuk bergerak secara sendirian apatah lagi dengan menyertai parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Sepanjang kerjaya Zuraida di dalam politik, beliau sentiasa mendapat sokongan dan dukungan daripada pemimpin lain di belakangnya.
“Zuraida tidak boleh berdiri sendiri. Semasa bersama PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara individu yang sering bersama-samanya hinggalah mereka meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu,” jelasnya.
Katanya, tindakan Zuraida menjawab spekulasi selama ini mengenai ‘jodohnya tidak panjang’ bersama Bersatu.
“Dengan kegagalan Zuraida lima kali tidak hadir ke mesyuarat kepimpinan Bersatu itu menguatkan lagi ada yang tidak kena mengenai mereka.
“Hari ini sudah jelas dan kita tunggu apa pula akan berlaku seterusnya,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan Zuraida dalam politik, Syed Agil berkata, sukar untuk membuat tafsiran.
“Seperti saya katakan, Zuraida tidak boleh berdiri sendiri dan apakah PBM mampu mendapat sokongan seperti sebelum ini?
“Sebuah parti baharu yang mungkin menyokong penuh kerajaan, tetapi untuk Zuraida menjadi individu yang mengepalai parti dan menarik sokongan, saya tidak pasti,” katanya.
Hari ini, Zuraida mengesahkan meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM dan keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan mendalam selepas melihat politik negara dan hala tuju masa depan politiknya.
Ekoran pengumuman itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, tindak tanduk Zuraida untuk menyertai PBM telah dikesan sebelum ini dan surat tunjuk sebab juga telah diberikan kepada Ahli Parlimen Ampang itu untuk dijawab dalam tempoh dua minggu. – MalaysiaGazette