KUALA LUMPUR – DAP menegaskan tindakan lompat parti dalam kalangan pemimpin parti perlu dihentikan segera kerana rakyat sudah cukup muak dengan tindak-tanduk pemimpin politik yang berkelakuan demikian.
Lantaran itu, Setiausaha DAP, Anthony Loke mendesak kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen.
Tegasnya, jika lompat parti ini tidak ditangani, ia akan mengganggu sistem politik negara.
“Dalam satu penggal boleh bertukar parti tiga kali. Daripada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemudian ke parti lain.
“Namun seperti kenyataan beliau, jadi menteri dalam satu penggal, di bawah tiga perdana menteri. Jadi dia pun hebatlah. Siapa pun jadi perdana menteri, dia jadi menteri jugak. Hebatlah jugak YB Zuraida ni,” katanya yang mengulas tindakan Zuraida yang meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Dalam kenyataannya semalam, Zuraida turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Loke berkata, tindakan Zuraida itu akan memberi masalah kepada kerajaan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, peletakan jawatan Zuraida sudah dijangka bersandarkan kepada pergolakan dalaman di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan perdana menteri.
Namun, menurut Loke, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengekalkan Zuraida dalam Kabinet atau sebaliknya selepas ini.
“Itu masalah mereka. Yang kita bagi perhatian, yang menjadi agenda kita ialah melaksanakan Akta Anti Lompat Parti supaya tindakan dapat mengubah parti ini dapat diberhentikan.
“Kalau hendak lompat parti, lebih baik adalah pilihan raya kecil untuk tentukan. Keadaan seperti ini perlu dihentikan,” tegas Loke. – MalaysiaGazette