Home Ekonomi LBS cipta sejarah bina galeri jualan unit rumah contoh terbanyak

LBS cipta sejarah bina galeri jualan unit rumah contoh terbanyak

Bilangan rumah contoh di dalam galeri jualan Projek Perumahan di Galeri Kita Cybersouth, Selangor. Foto MUHD NA'IM 27 MEI 2022.

CYBERJAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) sekali lagi tersenarai di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mencipta sejarah memegang rekod unit rumah contoh terbanyak di dalam galeri jualan di negara ini.

Galeri jualan itu terletak di KITA @Cybersouth dan LBS Alam Perdana, masing-masing dengan nilai kos sebanyak RM14.8 juta dan RM16.4 juta.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, keputusan untuk menempatkan pelbagai jenis unit rumah pameran di bawah satu galeri jualan dibuat dengan mengambil kira kehendak pelanggan.

Menurut beliau, ini kerana mencari rumah idaman boleh menjadi proses yang sangat melelahkan bagi pembeli rumah lebih-lebih lagi apabila seseorang itu berminat untuk melihat kriteria atau konsep rumah yang berbeza.

“Sebagai pemaju hartanah rakyat, matlamat kami adalah untuk memberi tumpuan bukan sahaja pada produk yang dibina.

“Tetapi juga merangkumi perkhidmatan sebelum dan selepas membeli rumah LBS dan dengan itu, idea untuk menempatkan pelbagai jenis rumah contoh di bawah satu bumbung telah tercetus dan direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penganugerahan sijil MBOR di Galeri Jualan KITA @Cybersouth di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

LBS kali pertama mendapat sijil MBOR pada tahun 2020 melalui projek BSP21 yang memenangi anugerah Bilangan Kemudahan Terbanyak dalam Pembangunan Kediaman’ di Malaysia dengan sejumlah 103 kemudahan.

Sementara itu, Galeri KITA @ Cybersouth dengan keluasan binaan keseluruhan 34,783 kaki persegi menempatkan lapan rumah contoh dengan mempamerkan jenis rumah yang berbeza iaitu Rumah Teres Dua Tingkat KITA Mekar, Rumah Bandar, kedua-dua unit bawah dan atas, Teres Setingkat, Pangsapuri KITA Ria Jenis A dan Jenis B, Idaman BSP dan KITA Sejati.

Galeri Jualan LBS Alam Perdana dengan jumlah keluasan binaan 18,273 kaki persegi pula menempatkan lima buah rumah contoh di dalam satu galeri jualan, iaitu Rumah Bandar Ritma Perdana, untuk kedua-dua tingkat bawah dan atas, Teres Dua Tingkat, Melodi Perdana dan Idaman Perdana.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, inisiatif Galeri Jualan juga membolehkan bakal pembeli rumah melihat projek berbeza pada bila-bila masa tanpa perlu bimbang akan keadaan cuaca.

“LBS akan meneruskan konsep sebegini di galeri jualan masa hadapan kerana ia terbukti mampu membantu kami mencapai matlamat untuk membantu pembeli rumah di samping meningkatkan kecekapan dan kemampanan.

“Kami berharap untuk terus membina ruang di mana komuniti dapat melihat nilai yang kami usahakan untuk berinovasi, berkembang dan berbangga dengan memanggil ruang ini sebagai rumah kediaman idaman,” katanya. – MalaysiaGazette