Home Nasional Polis ambil tindakan kes tonto ancam penguat kuasa JPJ

Polis ambil tindakan kes tonto ancam penguat kuasa JPJ

Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya mengesan beberapa aktiviti tonto yang menjadi orang tengah bertindak sebagai pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang Januari 2021 hingga Mei lalu, sebanyak lima laporan polis telah dibuat mengenai aktiviti penglibatan tonto.

Katanya, daripada laporan polis itu, dua telah dibuka kertas siasatan dan disiasat serta telah berjaya dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sindiket tonto dengan melindungi dan memberikan maklumat kepada kenderaan yang melakukan
kesalahan.

“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah seksyen 186 kanun keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd Jalil, PDRM akan sentiasa komited dalam membantu JPJ dan penguat kuasa yang lain sekiranya wujud ancaman semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan,” tegasnya

Menurutnya, tonto-tonto berkenaan mengekori dan mengawasi setiap kenderaan JPJ bagi tujuan memaklumkan lokasi semasa agensi penguat kuasa tersebut.

“Tindakan tonto yang memerhati dan mengekori setiap pergerakan anggota JPJ semasa menjalankan tugas penguatkuasaan memberi cabaran kepada pihak berkuasa tersebut dalam menjalankan tugas.

“Justeru, ancaman tonto ini juga telah menimbulkan persepsi negatif dan memberi kesukaran kepada JPJ untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette