Home Sukan Young Belat jadi juara bola keranjang SPANCO

Young Belat jadi juara bola keranjang SPANCO

INILAH JUARA.Pasukan Young Belat (lelaki) dan Fairy BLL 6130 bangga menunjukkan pingat kejuaraan kategori terbuka Bola Keranjang SPANCO bersempena Hari Sukan Negara 2017

KUALA LUMPUR – Terik matahari dan saingat hebat tidak menghalang pasukan Young Belat dan team Fairy BLL 6130 untuk menjulang kejuaraan kategori lelaki dan wanita dalam pertandingan Bola Keranjang 3×3 SPANCO bersempena Hari Sukan Negara 2017 di Kompleks Sukan Negara di sini malam semalam.

Young Belat yang dianggotai pemuda sebaya 24 tahun iaitu Mohd. Ruzaini Mohd. Rashid, Mohd. Azrul Effendy Mohd. Riza dan Muhammad Yusuf Zakaria membuktikan keunggulan apabila menewaskan pasukan Skyhawk dengan mata 6 – 1 seterusnya meraih pingat dan wang tunai bernilai RM1,000 serta tiga persalinan jersi kejohanan.

Manakala pasukan Fairy BLL 6130 dibarisi Foo Mee Kei, 17, Molly Tan dan Lim Yi Xuan, masing-masing 18, menumpaskan The 07 dengan mata 5 – 4 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM500, pingat kejohanan dan sepersalinan jersi pertandingan setiap orang.

Pertandingan tajaan syarikat perkhidmatan fleet kerajaan, SPANCO Sdn. Bhd. yang berlangsung di tapak letak kereta C di Kompleks Sukan Negara itu disertai oleh 1,200 orang pemain pelbagai kategori dari 12 hingga 65 tahun.

Pertandingan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diiringi Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaludin serta Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Datuk Hamzah Mohd. Salleh.

Gimik istimewa dengan penampilan apabila Perdana Menteri membuat jaringan yang disambut tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Hamzah, SPANCO menaja pertandingan Bola Keranjang 3×3 sebagai memeriahkan lagi sambutan Hari Sukan Negara 2017 seterusnya menanam minat bersukan dalam kalangan warga Malaysia.

Katanya, acara sukan seperti pertandingan bola keranjang 3×3 dan berjalan kaki adalah aktiviti popular untuk mengumpul orang ramai selain sesuai disertai masyarakat pelbagai peringkat umur.

“Di Malaysia, hanya 40 peratus rakyat yang mengamalkan gaya hidup sihat berbanding 60% di negara-negara membangun yang lain. Kami berharap inisiatif ini dapat membantu meningkatkan peratusan rakyat Malaysia yang aktif demi mengurangkan statistik pesakit kronik di kalangan rakyat negara ini,” katanya.

Menurut Ruzaimi, pertandingan kali ini bukan saja memberi kemenangan malah memberi kepuasan tersendiri apabila pasukan Secret SJL yang turut dianggotai pemain kebangsaan dan disebut-sebut sebagai tim pilihan, kecundang di tangan mereka di peringkat suku akhir dengan kelebihan mata 6 – 5.

“Sasaran seterus kami ialah untuk mengungguli MABA CUP 2017 (Kejohanan Persatuan Bola Keranjang Malaysia) yang dijadualkan pada bulan depan,” katanya.

Katanya, Young Belat yang diasaskan bersama rakan sekolah sejak di tingkatan satu Sekolah Sains Hulu Selangor dan mereka masih mengekalkan persahabatan selama 11 tahun itu dengan menyertai pelbagai pertandingan bola keranjang.

Sementara itu, Foo berkata, cabaran pertandingan yang lasak di bawah terik matahari menguji semangat sebelum meletakkan pasukannya di kemuncak kejuaraan.

Kombinasi tiga rakan baik dari Kajang yang bakal menduduki SPM itu ternyata berjaya menumpaskan pasukan lawan yang digeruni kerana mempunyai kekuatan dua pemain negeri.

“Kami sangat germbira kerana berjaya mengatasi halangan terbesar di peringkat akhir walaupun dengan kemenangan tipis satu mata. Untuk pasukan baru yang ditubuhkan bagi menyertai kejohanan anjuran SPANCO ini, kemenangan ini adalah permulaan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.- MalaysiaGazette